Bangunan tambahan Hospital Tawau siap sepenuhnya



TAWAU: Bangunan tambahan Hospital Tawau berserta fasiliti kesihatan yang menelan kos kira-kira RM210 juta siap sepenuhnya dan dijangka memulakan operasi tahun ini.

Presiden Parti Harapan Rakyat Sabah (Harapan Rakyat) Tan Sri Liew Yun Fah berkata, projek yang mula dibina pada 2017 itu dilengkapi dengan kemudahan dan peralatan kesihatan yang terkini.

Katanya, hospital itu akan menjadi kebanggaan penduduk di daerah ini dan sekitarnya kerana mereka boleh menikmati perkhidmatan kesihatan yang berkualiti tanpa perlu ke Kota Kinabalu.

“Sebenarnya banyak cabaran terpaksa ditempuhi semasa dalam proses menyiapkan projek ini kerana kerja-kerja kontraktor terpaksa dihentikan ekoran berlakunya pandemik COVID-19.

“Bagaimanapun, dengan sokongan kerajaan Persekutuan dan negeri, akhirnya bangunan tambahan hospital ini dapat disiapkan dengan sempurna,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membuat lawatan ke bangunan tambahan Hospital Tawau bersama persatuan-persatuan dan badan bukan kerajaan (NGO), di sini, semalam.

Menurutnya, bangunan sembilan tingkat ini turut dilengkapi dengan fasiliti Unit Kecemasan yang luas, Unit Rawatan Kelecuran yang pertama di Pantai Timur Sabah dan tapak Helipad.

“Blok menempatkan 154 buah katil ini juga turut menyediakan enam bilik bedah, empat suite endoskopi, 30 unit hemodialisis, bilik Pengimejan Resonans Magnet (MRI) dan bilik seminar.

“Selain itu, terdapat juga pejabat Bahagian Pentadbiran yang selesa bagi membantu suasana kerja lebih produktif dan kondusif untuk kakitangan hospital,” katanya.

Liew menzahirkan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor kerana banyak membantu sehingga projek ini dapat disiapkan.

“Saya juga mengucapkan terima kasih kepada Ketua Setiausaha Negera (KSN), Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Penduduk di daerah ini perlu bersyukur kerana mempunyai pemimpin yang prihatin dengan keperluan rakyat dan berharap sokongan terhadap kerajaan terus bertambah supaya banyak lagi pembangunan dapat dilaksanakan,” katanya.

Turut hadir, Pegawai Kesihatan Kawasan Tawau, Dr Shameer Khan Sulaiman dan Timbalan Pengarah Hospital Tawau, Dr Azman Ibrahim.
Terbaru Lebih lama