Cubaan menyeludup beras putih import bersubsidi digagalkan di Tawau

Jongkong yang digunakan untuk aktiviti penyeludupan

Tawau - Satu serbuan daripada Pejabat Kawalselia Padi dan Beras Tawau, dengan bantuan empat pegawai bersenjata dan MPV dari Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau, telah berjaya menggagalkan cubaan penyeludupan Beras Putih Import (BPI) 5% bersubsidi di Jeti Limbungan, Batu 3 Tawau pada 10 September 2024, lebih kurang jam 4:00 petang.

Semasa serbuan, pasukan operasi menemui sebuah kapal jongkong yang sedang memunggah barang dagangan.

Pemeriksaan lanjut mendapati cubaan untuk menyembunyikan Beras Putih Import 5% bersubsidi di bawah lapisan Beras Pulut dan barang-barang lain. 

Sebanyak 103 guni beras (50 kg/guni) dengan jumlah keseluruhan 5,150 kg telah disita.

Pemilik beras tersebut meninggalkan lokasi sejurus mengetahui kehadiran pihak berkuasa. Kes ini kini disiasat di bawah Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 (Akta 522). Beras yang disita telah dibawa dan disimpan di Gudang Bernas, Jalan Apas Tawau untuk tindakan lanjut.

Operasi ini menunjukkan ketegasan pihak berkuasa dalam memerangi aktiviti penyeludupan barang-barang bersubsidi yang melanggar undang-undang kawalan padi dan beras.

Terbaru Lebih lama