Nizam bersama ahli Gagasan Rakyat Sebatik
TAWAU: Pencapaian cemerlang kerajaan negeri menjadi faktor utama rakyat lebih memilih dan beralih menyertai Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) ketika ini.Ketua Penerangan Gagasan Rakyat, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, rakyat sudah mula melihat keikhlasan kerajaan negeri melalui inisiatif dan bantuan yang disalurkan selama empat tahun mentadbir.
Katanya, Gagasan Rakyat yang merupakan rakan kongsi Parti Gabungan Rakyat Sabah (GRS)-Pakatan Harapan (PH) GRS-PH Plus sudah berada pada landasan yang betul.
“Kerajaan negeri yang dipimpin Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor sudah menunjukkan pelbagai pencapaian termasuklah menurunkan dan menoktahkan miskin tegar di Sabah.
“Rakyat juga sudah mula merasai perubahan yang sangat ketara sejak kerajaan GRS-PH Plus mentadbir berbanding kerajaan yang sebelum ini memerintah selama dua tahun lebih,” katanya.
Nizam yang juga Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Mesyuarat Tahunan Gagasan Rakyat Bahagian Sebatik, di sini hari ini.
Menurutnya, perkara paling penting adalah kerajaan negeri hari ini fokus dengan kerja dan tidak banyak bercakap soal politik sejak empat tahun memerintah.
“Kita mahukan kestabilan politik supaya tumpuan kerajaan negeri hanya mentadbir dan menyelesaikan semua masalah-masalah rakyat yang ditinggalkan oleh kerajaan sebelum ini.
“Justeru, saya yakin rakyat sudah lebih matang dan dapat membezakan kerjaaan yang fokus dengan kerja berbanding kerajaan yang hanya sibuk bermain politik,” katanya.
Dalam pada itu, beliau memuji Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Sebatik Datuk Hassan A Gani Pg. Amir kerana berjaya menghimpunkan lebih 1,000 orang perwakilan daripada 143 cawangan.
“Saya cukup yakin penduduk di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sebatik akan memilih GRS pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang,” katanya.
Sementara itu, Hassan optimis bahawa PRN akan datang GRS akan dapat mempertahankan kerusi di DUN Sebatik kerana melihat penerimaan rakyat akar umbi ketika ini.
Katanya, Gagasan Rakyat Sebatik hanya bermula 60 cawangan sahaja dan dalam masa setahun keahlian sudah bertambah menjadi lebih 5,000 orang daripada 143 cawangan.
“Melalui program turun padang yang dilaksanakan, saya berkeyakinan keahlian Gagasan Rakyat Sebatik akan terus bertambah.
“Saya juga sudah meminta semua ketua cawangan dan ahli supaya terus mengambil perhatian keperluan rakyat akar umbi untuk diselesaikan dan diangkat ke peringkat pucuk pimpinan,” katanya.