239 PATI dihantar pulang melalui Pelabuhan Tawau ke Nunukan, Indonesia. |
TAWAU– Seramai 239 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia telah dihantar pulang ke negara asal melalui Pelabuhan Tawau, semalam.
Kesemua PATI ini merupakan tahanan di empat depot imigresen iaitu Kota Kinabalu, Papar, Sandakan, dan Tawau.
Pengarah Imigresen Sabah, Datuk SH Sitti Saleha Habib Yusoff, memaklumkan bahawa pemindahan ini melibatkan 186 lelaki, 41 wanita, dan 12 kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah.
Tambahnya, kesemua tahanan PATI dihantar pulang menggunakan pengangkutan laut melalui Feri Francis Express dan Purnama Express ke Pelabuhan Nunukan, Terminal Tunon Taka, Indonesia.
"Ini merupakan siri ke-14 program pemindahan PATI untuk kategori usir melalui laut bagi tahun 2024," jelas beliau.
Sementara itu, PATI yang dihantar pulang berusia antara dua bulan hingga 69 tahun, dan kanak-kanak yang terlibat dihantar bersama ibu, bapa, atau penjaga mereka.
“Semua PATI yang ditahan telah melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan - Peraturan Imigresen 1963, dan tindakan penghantaran ini diambil setelah mereka menjalani proses perundangan yang sewajarnya,” jelas beliau lagi.
SH Sitti Saleha turut menambah, operasi ini merupakan sebahagian daripada tindakan berterusan Jabatan Imigresen Malaysia, dengan pengesahan daripada kedutaan negara asal bagi setiap PATI yang dihantar pulang.
Operasi pemindahan PATI dijangka diteruskan untuk memastikan pelanggaran undang-undang imigresen dapat dikawal secara berkesan.