Kanak-kanak 4 tahun dikhuatiri lemas

 


TAWAU: Seorang kanak-kanak perempuan berusia empat tahun dikhuatiri lemas selepas hanyut ketika menyeberangi sungai di Kg Ranggu Batu 8 Jalan Apas Tawau, di sini, petang tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, Jemishin Ujin berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 6.06 petang berhubung kejadian tersebut.

Seramai enam anggota bomba bersama dua jentera digerakkan ke lokasi kejadian bagi menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR).

"Menurut pengadu, mangsa Putri Jimar, 4, dipercayai dihanyutkan di sungai ketika cuba menyeberangi sungai bersama bapa mangsa.

"Operasi SAR dijalankan dengan kaedah pencarian surface rescue bersama orang agensi lain dan orang awam," katanya dalam satu kenyataan.

Tambahnya, operasi pencarian dilakukan dalam radius 2 kilometer dari lokasi mangsa dilaporkan hilang.

Operasi ditangguhkan pada jam 8.11 malam dan akan disambung semula pada keesokan pagi.

"Maklumat akan dikemaskini dari semasa ke semasa," katanya.


Terbaru Lebih lama