Kawal pemimpin pemuda UMNO sebelum bincang kerjasama, DAP Sabah beritahu Bung


KOTA KINABALU: Pemimpin DAP Sabah menyarankan agar Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin mengendalikan pemuda UMNO terlebih dahulu sebelum menyentuh mengenai kerjasama BN-PH untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah Ke-17 kelak.

Ahli Parlimen Kota Kinabalu, Datuk Chan Foong Hin bersetuju dengan pendapat Bung bahawa kemenangan Pilihan Raya Kecil (PRK) Mahkota pada minggu lepas sememangnya membuktikan keberkesanan kerjasama PH-BN.

Namun, beliau berkata kedua-dua gabungan harus mengutamakan keperluan dan menghormati antara satu sama lain.

"Saya tidak mengatakan saya tidak bersetuju dengannya, tetapi sebarang kerjasama harus berdasarkan rasa hormat antara satu sama lain," kata Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi kepada media selepas melancarkan Seminar Kebangsaan 2024 mengenai kelapa sawit pagi tadi.

Tambahnya, ada ahli parti yang mungkin memperjuangkan isu-isu tertentu tanpa mempertimbangkan rakan gabungan mereka, yang boleh menyebabkan pertikaian.

Walaupun mengakui terdapat kerjasama yang sedang berlangsung, beliau menekankan bahawa pertikaian terbuka boleh merosakkan hubungan dan menggesa pemimpin gabungan untuk menangani isu dengan teliti bagi menggalakkan perpaduan.

Chan turut menambah bahawa budaya ekstremisme tidak akan diterima baik di Sabah, dan menyeru UMNO untuk mengurus pemimpin muda mereka dengan lebih berkesan.

"Apa yang saya cuba katakan ialah saya tidak fikir budaya ekstremisme akan diterima di Sabah.

"Jadi, jika UMNO sebagai sebuah parti tidak dapat mengawal atau menguruskan beberapa pemimpin muda yang begitu berani memperjuangkan agenda peribadi mereka, akhirnya kita akan terjejas dalam politik Sabah.

"Contohnya, saya tidak rasa melabel seseorang sebagai 'nyonya tua' dapat diterima di sini," katanya.

Baru-baru ini, Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Akmal Salleh, merujuk Teresa Kok dari DAP sebagai "nyonya tua" dan meminta Kok agar tidak campur tangan dalam hal-hal berkaitan Islam, terutamanya mengenai cadangan pensijilan halal.

Chan menekankan pentingnya menjaga adab dan menggesa agar serangan peribadi dielakkan.

"Saya fikir Bung harus mempertimbangkan bagaimana untuk menangani isu ini sebelum membincangkan kerjasama.

"Apabila anda melampaui batas, ia boleh merosakkan hubungan," katanya.

Terbaru Lebih lama