Kerajaan Negeri komited untuk memastikan persekitaran media yang adil dan saksama.


Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor (tengah) bersama Presiden SJA Datuk Muguntan Vanar (kanan) dan pengerusi penganjur Durie Rainer Fong (kiri) bersama para pemenang Anugerah Media Kinabalu di Hotel Hilton.


KOTA KINABALU: Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor memberi jaminan bahawa kerajaan negeri komited untuk memastikan persekitaran media yang adil dan saksama di Sabah.

“Kami mahu memastikan semua suara didengari, dan semua pandangan dihormati.Menghormati dan melindungi kebebasan akhbar adalah penting untuk kemajuan sosial dan pembangunan demokrasi.

“Kerajaan negeri bertegas dalam hal ini. Justeru, kami akan terus menyokong penganjuran secara tahunan Kinabalu Press Award untuk mempromosikan kecemerlangan kewartawanan dan menggalakkan bakat baharu,” katanya.

Berucap ketika Kinabalu Press Award (KPA) 2024 di Hotel Hilton di sini malam ini,Ketua Menteri berkata pelaporan yang bertanggungjawab memberi kesan kepada integriti berita.

“Wartawan dan organisasi media juga bertanggungjawab untuk mendukung etika, termasuk mengesahkan maklumat daripada sumber yang boleh dipercayai, enyediakan liputan seimbang merangkumi semua perspektif. Ini akan memastikan laporan kekal adil dan objektif ,” katanya.

Ketua Menteri turut berasa gembira mengetahui bahawa media di Sabah, secara amnya, telah menunjukkan sokongan dengan melaporkan semua agenda pembangunan yang dilaksanakan kerajaan negeri hari ini.

Justeru, katanya adalah penting untuk memperkukuh perkongsian pintar dalam menyebarkan maklumat yang jelas dan tepat kepada rakyat di negeri ini.

Hajiji berkata KPA yang bertemakan ‘Progress Through Smart Partnership’ adalah tepat erana beliau percaya kerjasama antara pengamal media dan Kerajaan Negeri adalah penting dalam menyebarkan maklumat mengenai agenda pembangunan negeri, khususnya pelan pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya.

“Pengamal media di Sabah, melalui laporan mereka, boleh memberi tumpuan kepada pembangunan kritikal yang paling memberi kesan kepada negeri dan rakyat selain melaporkan isu-isu lain yang sama penting,” katanya.

Sehubungan itu, Hajiji berkata Kerajaan Negeri berbangga untuk terus menjadi penaja utama KPA.

“Saya berharap dedikasi pengamal media terus berada pada tahap tertinggi dalam melaporkan berita yang benar, sahih dan tepat,” katanya.

Ketua Menteri turut memuji Shell, Petronas, Qhazanah Sabah Berhad dan terbaru SMJ Energy Sdn Bhd kerana menaja KPA.

“Saya berharap lebih ramai akan mencontohi usaha mereka untuk menyokong industri media,” katanya.
Terbaru Lebih lama