Kerajaan negeri sumbang RM200,000 bantu MTS Rayyaj Tawau

 Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy menyerahkan 'Mock Cheque' kepada wakil jawatankuasa pentadbir MTS Rayyaj, Abdul Gani Zelika.

TAWAU: Kerajaan negeri memberi sumbangan khas sebanyak RM200,000 bagi membantu baik pulih bangunan Maahad Tahfiz Sulaimaniyyah (MTS) Rayyaj, di sini yang musnah dalam kebakaran, dua tahun lalu.

Sumbangan itu disampaikan oleh Pembantu Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Sabah, Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy kepada wakil jawatankuasa pentadbir MTS Rayyaj, Abdul Gani Zelika.

Suryady berkata, sumbangan itu adalah inisiatif kerajaan negeri bagi membantu sebahagian kos baik pulih bangunan yang musnah dalam kebakaran pada 23 April 2022 lalu.

Katanya, kejadian kebakaran asrama MTS Rayyaj dua tahun lalu itu menyebabkan kira-kira seramai 74 orang pelajar terjejas dari segi kemudahan tempat tinggal.

Justeru, katanya, atas keprihatinan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor, kerajaan negeri memberikan bantuan sebanyak RM200,000 ini.

“Kos operasi baik pulih asrama pusat berkenaan dianggarkan bernilai lebih RM700,000 yang meliputi bangunan, pendawaian, prasarana dan karpet.

“Saya berharap sumbangan ini dapat membantu kewangan pusat ini kerana mereka sudah mengeluarkan banyak kos untuk menyiapkan baik pulih bangunan yang sudah musnah terbakar,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kalabakan berkata demikian ketika menyampaikan sumbangan berkenaan di MTS Rayyaj, di sini semalam.

Menurutnya, kerajaan negeri yang ada ketika ini sentiasa memberikan bantuan untuk pembangunan sekolah-sekolah tahfiz dan agama termasuklah yang dikendalikan oleh pihak swasta.

“Pendidikan merupakan agenda utama kerajaan negeri dalam usaha melahirkan lebih ramai modal insan yang celik ilmu dan mampu melahirkan pemimpin pada masa akan datang,” katanya.

Terdahulu, MTS Rayyaj Tawau ini didirikan bertujuan memberikan dukungan pendidikan dan prasarana kepada pelajar penghafal al-Quran.

Pusat yang sudah beroperasi pada pada tahun 2014 ini telah melahirkan lebih 100 orang penghafal al-Quran dan ramai yang telah melanjutkan pengajian di negara Turki.

Terbaru Lebih lama