Datuk Seri Hajiji bersama peserta SMD 7.0
Kota Kinabalu - Sebanyak RM16.9 juta telah diperuntukkan oleh Kerajaan Negeri Sabah untuk pelaksanakan Program Pembangunan Kepimpinan Belia Sabah selaras dengan Dasar Belia Sabah, kata Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor.
Tambahnya, Kerajaan Negeri Sabah akan terus menyediakan sumber untuk pelaksanaan pelbagai program belia termasuk latihan kepimpinan, kemahiran, dan keusahawanan.
“Skim Pembangunan Usahawan Belia Sabah (SYABAS) akan terus menyokong usahawan muda kita dalam memulakan dan menguatkan inisiatif keusahawanan mereka,” jelas Hajji.
Sementara itu, Hajiji turut mencadangkan agar Sabah Motor Day (SMD) dimasukkan ke dalam kalendar pelancongan negeri Sabah.
“InsyaAllah, saya akan cadangkan kepada Kerajaan, SMD ini akan dimasukkan dalam kalender pelancongan pada masa akan datang.
Beliau berkata sedemikian ketika merasmikan Sabah Motor Day 7.0 di padang kawad Universiti Malaysia Sabah (UMS), yang dihadiri 50,000 peserta dari Sabah, Brunei, Sarawak dan Semenanjung Malaysia.
“Saya percaya program sebegini akan menggalakkan belia terlibat dalam aktiviti bermanfaat, menghindari perlumbaan haram, dan meningkatkan lagi kesedaran tentang bahaya penyalahgunaan dadah serta keselamatan penunggang motosikal kepada orang ramai,” katanya.
“Penyampaian sumbangan kepada Rumah Anak Yatim Tuaran bersama Pasukan Anti Dadah Sabah telah menggalakkan lagi para belia untuk terlibat dalam kerja amal dan menyumbang kepada yang memerlukan.
Hajiji juga yakin program sebegini akan menyemai perpaduan di kalangan belia dalam sukan permotoran dua roda dan menanam nilai-nilai murni selaras dengan objektif acara ini.
“Selaras dengan komitmen kerajaan untuk memupuk belia sebagai barisan kepimpinan negeri dan negara seterusnya, saya berharap program seperti ini akan terus dianjurkan,” katanya.