KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri akan mempertimbangkan cadangan hasil penyelidikan mengenai Model Ekonomi Sabah yang baharu oleh Majlis Penasihat Ekonomi Sabah (SEAC) dengan kerjasama Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Institut Kajian Pembangunan (Sabah).
"Kami terbuka kepada cadangan ini untuk membantu pertumbuhan ekonomi negeri," kata Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor selepas diberi taklimat mengenai cadangan tersebut di Menara Kinabalu, hari ini.
Beliau juga menggesa SEAC untuk menjalankan penyelidikan yang menyeluruh dengan penglibatan semua kementerian negeri dan pihak berkepentingan.
Turut hadir semasa taklimat itu ialah Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Panglima Sr Safar Untong, ahli-ahli SEAC yang diketuai oleh Pengerusi Tan Sri David Chu, Naib Canselor UMS Profesor Datuk Dr Kasim Hj. Mansor, dan Ketua Pegawai Eksekutif IDS Profesor Datuk Dr Ramzah Dambul serta pegawai kanan dari Unit Perancang Ekonomi Negeri.