Ketua Menteri ucap tahniah kepada Eddy Bernard, menang pingat Paralimpik Paris

KOTA KINABALU - Kontinjen Malaysia menuai pingat pertama pada Sukan Paralimpik Paris 2024 menerusi pelari pecut, Eddy Bernard yang meraih pingat gangsa dalam acara 100 meter lelaki T44.

Menerusi catatan di laman Facebook, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor mengucapkan tahniah atas kejayaan pelari berasal dari daerah Beluran, Sabah itu.

"Syabas dan tahniah Eddy Bernard berjaya menghadiahkan pingat pertama negara untuk temasya sukan Paralimpik Paris 2024!" katanya.

Foto: Hajiji Haji Noor Facebook

Pada acara final yang berlangsung di Stade de France, Paris awal pagi tadi, atlet yang baru berusia 23 tahun itu memulakan saingan dengan cukup baik sebelum kehilangan momentum dan menamatkan saingan menerusi catatan masa 11.58 saat (s) di kedudukan ketiga.

Eddy yang melakukan penampilan sulung pada temasya sukan terbesar dunia itu turut meleburkan rekod Asia 11.75s milik atlet Sri Lanka, Indika Gamage yang dicatatkan pada Kejohanan Olahraga Para Dunia 2024 di Kobe, Jepun Mei 2024.
Terbaru Lebih lama