Ketua Menteri yakin GRS-PH Plus kembali memerintah selepas PRN17

KOTA BELUD: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) – Pakatan Harapan (PH) Plus yang membentuk kerajaan negeri ketika ini mampu kembali memerintah selepas Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17).

Keyakinan itu disuarakan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berdasarkan perkembangan semasa politik dan penerimaan rakyat terhadap kerajaan sedia ada.

Katanya, gabungan berkenaan memiliki kekuatan untuk meneruskan khidmat kepada rakyat dan membangunkan negeri ini ke tahap yang lebih baik.

“Saya tahu kekuatan parti kita, InsyaAllah, kita akan bersama dengan PH Plus, kita tetap akan menjadi kerajaan selepas PRN nanti.

“InsyaAllah, rakyat mahukan perubahan dan mahukan GRS-PH Plus ini terus memerintah negeri,” katanya pada Majlis Perasmian Mesyuarat Tahunan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Bahagian Usukan Tahun 2024 di Dewan Datuk Japlin Akim, Kampung Jawi-Jawi di sini pada Ahad.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor yang juga Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) memukul gong merasmikan Mesyuarat Tahunan Gagasan Rakyat Bahagian Usukan Tahun 2024 

Beliau yang juga Presiden Gagasan Rakyat berkata, banyak perkara yang perlu diambil kira bagi menghadapi PRN akan datang, termasuk berkaitan kepentingan rakan dalam GRS dan Kerajaan Perpaduan.

Katanya, itu antara syarat penting bagi memastikan kerajaan sedia ada dapat dikekalkan selepas PRN17 nanti, di samping menguatkan lagi Gagasan Rakyat yang menjadi tunjang GRS.

“Yang penting kepada kita terutama sekali di Usukan, kalau ada semangat kita mahu bertanding di Usukan, parti Gagasan Rakyat mesti kuat dan mantap.

“Ini syarat utama dan kita mahu semua ahli parti bekerja kuat untuk hadapi cabaran dan PRN nanti kerana banyak perkara perlu diambil kira pada PRN akan datang.

“Kita mesti fikir kepentingan rakan dalam GRS dan Kerajaan Perpaduan kerana kita mahu terus memerintah Sabah,” katanya.

Hajiji bersama para pemimpin dan perwakilan parti

Sementara itu, Ketua Menteri mengulangi pendirian kerajaan negeri pimpinannya mengenai kepentingan mempunyai hubungan yang baik dengan Kerajaan Persekutuan.

“Dalam politik, kerajaan negeri mesti “ngam” dan bekerjasama rapat dengan Kerajaan Persekutuan. Ini penting kerana sejarah lalu kita mesti tahu, apabila kerajaan negeri tidak bekerjasama dengan kerajaan persekutuan, apa jadi?

“Saya tidak mahu cakap di sini, nanti ada yang terasa. Jadi, ia perlu kerana kita dalam satu negara Malaysia.

“Jangan kita terlampau perkauman, terlampau kenegerian dan kekampungan. Orang cerita dunia tanpa sempadan, kita kampung, cerita negeri kita, tidak cerita pasal negara. Jadi, kita kena pandai berpolitik, kita tidak boleh bermusuh dengan kerajaan persekutuan,” katanya.

Hajiji berkata, amalan itulah yang menjadi pegangan kerajaan pimpinannya sehingga berjaya mencapai banyak kejayaan walaupun baru lebih setahun Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Panglima Anwar Ibrahim memerintah.

“Dalam tempoh saya ini dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim banyak perkara berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) ditunaikan, baru setahun lebih.

“Sekarang hanya tinggal beberapa isu saja lagi. Kita tidak pernah undur meminta kerajaan Persekutuan melaksanakan dan menunaikan apa yang termaktub dalam MA63,” katanya.

Terbaru Lebih lama