Lelaki hilang ditemui berada di mulut buaya di Lahad Datu


Foto ihsan bomba

Lahad Datu – Seorang lelaki yang dikhuatiri hilang ketika memancing di Ladang Rimmer, Sungai Matamba, Jalan Silabukan, Sabah, ditemui maut dibaham buaya.

Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu, Sumsoa Rashid, mangsa yang dikenali sebagai Rusdi Bin Tambah, 45 tahun yang merupakan warga Indonesia, disahkan meninggal dunia akibat serangan buaya yang berlaku ketika dia berada di tepi sungai.

“Bomba menerima panggilan kecemasan pada jam 10:07 pagi, anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu tiba di lokasi pada jam 11:32 pagi, dengan jarak 40 kilometer dari balai bomba.”

“Setibanya di tempat kejadian, buaya tersebut masih kelihatan kira-kira 50 meter dari lokasi serangan, dengan mangsa berada di dalam mulut haiwan berkenaan.

Katanya, Jabatan Hidupan Liar Sabah yang berada di lokasi, bertindak melepaskan lima das tembakan ke arah buaya sepanjang 15 kaki itu, yang mengakibatkan kematian haiwan tersebut.

“Pasukan bomba kemudian turun ke sungai untuk mengeluarkan mangsa, yang disahkan telah meninggal dunia di tempat kejadian.”

Mangsa diserahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut, manakala bangkai buaya diserahkan kepada Hidupan Liar untuk pengurusan seterusnya.

Operasi mencari dan menyelamat yang diketuai oleh PBK II Mohamad Akhbar bin Mohambar tamat pada jam 1:10 petang.
Terbaru Lebih lama