Lelaki hilang selepas bot bertembung ditemui meninggal dunia

Foto ihsan bomba

SANDAKAN- Seorang lelaki yang dilaporkan hilang selepas bot yang dinaiki bertembung dengan sebuah bot lain di perairan Kg Bahagia, ditemui meninggal dunia disini, pagi ini.

Sebelum ini, Adzmin Isa, 24 yang dilaporkan hilang telah ditemukan oleh orang awam berhampiran lokasi mangsa dilaporkan hilang.

Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sandakan, Severinus@Mohd Nizam bin Sankui, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 24 September, kira-kira jam 9:52 malam, pada Selasa.

“Maklumat awal daripada pengadu memaklumkan bahawa bot mangsa yang membawa lima orang telah bertembung dengan sebuah bot lain," jelasnya dalam satu kenyataan media.

"Empat penumpang dilaporkan selamat, namun seorang mangsa hilang di laut,” tambahnya lagi.

Pasukan bomba yang terdiri daripada enam anggota dan sebuah bot tiba di lokasi kejadian pada jam 11.08 malam, digerakkan ke lokasi kejadian bagi menjalan operasi mencari dan menyelamat (SAR).

Operasi turut dibantu dengan kerjasama agensi lain seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

“Mayat mangsa berjaya ditemui oleh orang awam pada jam 9.50 pagi di lokasi mangsa dilaporkan hilang,” ujarnya lagi.

Operasi tamat sepenuhnya pada jam 10.30 pagi, mangsa disahkan meninggal dunia dan diserahkan kepada pihak polis dan dibawa ke hospital untuk tindakan selanjutnya.
Terbaru Lebih lama