Lima gerai yang bersaiz 10x50 kaki dan tidak kekal itu terbakar sepenuhnya di Batu 13, Simpang Jeroco. |
LAHAD DATU- Lima gerai musnah sepenuhnya dalam kebakaran di Batu 13, Simpang Jeroco, Lahad Datu pada awal pagi semalam.
Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan II Mohammad Akbar Bin Mohambar memaklumkan, pihak bomba menerima panggilan kecemasan berhubung insiden itu pada jam 1.30 pagi.
"Seramai 11 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu segera bergegas ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 21 kilometer dari balai," katanya dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, kelima-lima gerai yang bersaiz 10x50 kaki dan tidak kekal itu terbakar sepenuhnya.
"Operasi pemadaman dilakukan menggunakan satu aliran sepanjang 200 kaki dengan dua pancutan air daripada sumber air terbuka berhampiran (parit) menggunakan pam angkut," tambahnya.
Susulan itu, operasi pemadaman berjalan lancar, dan anggota bomba berjaya mengawal keadaan tanpa ada sebarang komplikasi lanjut.
Beliau turut mengesahkan tiada mangsa terlibat dan operasi ditamatkan selepas memastikan tiada bahaya lain di kawasan kejadian.