Lima termasuk kanak-kanak rentung kebakaran rumah setinggan di Likas

Foto Ihsan Bomba

KOTA KINABALU: Lima mangsa dianggarkan berusia antara 3 hingga 14 tahun rentung dalam satu kebakaran melibatkan tiga buah rumah setinggan di Jalan Lembaga Padi, Lorong Burung Keleto, Likas, di sini pada Isnin.

Ketua Balai Bomba Penyelamat (BBP) Lintas, Agustavia Joe Guasi, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 12.47 tengah hari melalui talian MERS999 berhubung kejadian tersebut.

Seramai 13 anggota BBP Lintas dengan dibantu 14 anggota BBP Kota Kinabalu dan enam anggota BBP Putatan bersama 13 jentera digerakkan ke lokasi kejadian.

“Kebakaran tersebut melibatkan tiga rumah jenis tidak kekal, dengan keluasan keseluruhan 70 x 80 kaki, yang terbakar sepenuhnya, termasuk sebuah stor dan sebuah kedai runcit.

“Seramai lima orang mangsa dengan anggaran umur 3 hingga 14 tahun dilaporkan rentung dan dua buah kenderaan turut musnah 100%," katanya dalam satu kenyataan.

Pasukan bomba menggunakan satu aliran sepanjang 400 kaki dan empat pancutan air dengan sumber air diambil daripada jentera bomba dan pili bomba berhampiran.

Operasi pemadaman masih diteruskan bagi memastikan tiada bara api yang masih menyala, manakala maklumat lanjut mengenai identiti mangsa sedang diperolehi dan akan dikemaskini dari semasa ke semasa.

Terbaru Lebih lama