MA63: Akta Laut Wilayah 2012 dan pelantar benua Sabah kekal perkara 'tidak boleh dirunding'

Peguam Besar Negeri Sabah

KOTA KINABALU: Sabah kekal dengan pendirian untuk menolak sebarang bentuk rundingan terhadap Akta Laut Wilayah 2012 (TSA 2012) dan pelantar benua, kata Peguam Besar Negeri Sabah, Datuk Brenndon Keith Soh.

Brenndon dalam satu kenyataan menegaskan Akta Laut Wilayah 2012 adalah tidak terpakai ke atas Negeri Sabah dan pelantar benua turut kekal berada di dalam wilayah negeri seperti yang telah diisytihar dalam North Borneo (Alteration of Boundaries) Order in Council 1954.

"Tuntutan ini telah direkodkan secara rasmi sebagai perkara yang 'tidak boleh dirunding' di bawah Majlis Tindakan Pelaksanaan MA63 [Majlis MA63] yang telah dipengerusikan oleh YAB Perdana Menteri Malaysia pada 12 September 2024.

"Walau terdapat perkembangan yang signifikan dalam Majlis MA63 berkenaan dengan tuntutan dan hak-hak negeri yang lain, tuntutan berkenaan TSA 2012 dan pelantar benua masih kekal dalam senarai 'setuju untuk tidak bersetuju'.

"YAB Timbalan Perdana Menteri turut menyatakan bahawa perkara-perkara ini akan terus dibincangkan di peringkat tertinggi di antara Perdana Menteri, Ketua Menteri Sabah dan Premier Sarawak. Sehubungan dengan itu, Jabatan ini akan kekal komited dalam mempertahankan pendirian Kerajaan Negeri dalam perkara ini secara berterusan," katanya.

Tambahnya, berkenaan dengan keputusan Mahkamah Tinggi yang telah menolak permohonan Jabatan Peguam Besar Negeri Sabah untuk bertindak sebagai amicus curiae dalam kes mengenai tuntutan laut wilayah baru-baru ini, Jabatan itu menghormati sepenuhnya keputusan Hakim Mahkamah Tinggi tersebut.

"Sabah Action Body Advocating Rights (SABAR) juga telah memberi sokongan kepada Jabatan ini untuk memberikan bantuan dalam kes, namun Peguam Negara Persekutuan telah membantah perkara tersebut.

"Walau bagaimanapun, adalah budi bicara mahkamah untuk menentukan sama ada bantuan kami diperlukan atau tidak dalam menyelesaikan pertikaian undang-undang di antara kedua-dua pihak ini. Dalam kes ini, mahkamah telah membuat keputusan yang sebaliknya," katanya.

Walaupun dengan keputusan tersebut, Brenndon menjelaskan Jabatan Peguam Besar Negeri Sabah akan terus ikhlas menawarkan sokongan untuk memberikan pandangan perundangan rasmi negeri berkenaan dengan perkara ini yang melibatkan kepentingan awam.

"Jabatan ini juga ingin memberi jaminan bahawa Kerajaan Negeri akan terus memantau perkembangan kes ini dengan teliti.

"Seperti yang dinyatakan juga dalam keputusan mahkamah, masih lagi terbuka bagi Kerajaan Negeri untuk melibatkan diri sebagai pihak dalam prosiding undang-undang tersebut, dan pilihan ini akan dipertimbangkan dengan teliti bersama semua pilihan yang lain bergantung kepada keputusan Majlis Tindakan Pelaksanaan MA63 mengenai perkara ini," katanya.
Terbaru Lebih lama