ACP Jasmin Hussin (Tengah) menunjukkan dadah jenis ganja pada sidang media, hari ini. |
Pemeriksaan polis mendapati lelaki warga tempatan berusia 39 tahun itu memiliki dadah jenis ganja dianggarkan 3.3 kilogram dengan nilai RM10,380.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, suspek ditahan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Daerah (IPD) Tawau selepas mendapat maklumat awam.
Katanya, pasukan polis menemukan sejumlah dadah jenis ganja seberat 9.98 gram ketika pemeriksaan dijalankan ke atas lelaki terbabit.
“Hasil soal siasat dijalankan, suspek sendiri mengakui telah menyembunyikan lebihan dadah jenis ganja di rumahnya di Bandar Sri Indah, Fasa 3, di sini.
Menurutnya, siasatan lanjut juga mendapati suspek aktif mengedar dadah sejak setahun lalu di daerah ini dan modus operandinya adalah menghantar sendiri ganja berkenaan kepada pelanggan.
Katanya, suspek dipercayai mendapat bekalan ganja berkenaan daripada Kota Kinabalu, sebelum dijual kepada penagih di daerah ini melalui pesanan telefon.
“Hasil ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis Tetrahydrocannabinol (THC) dan mempunyai dua rekod jenayah lampau mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.
“Suspek kini ditahan reman selama tujuh hari manakala kes disiasat mengikut Seksyen 39B ADB 1952 dan kini polis sedang berusaha mengesan rangkaian sindiket ini untuk siasatan lanjut,” katanya.
Jasmin berkata, tangkapan dan rampasan berkenaan adalah kes yang pertama direkodkan tahun ini melibatkan dadah jenis ganja oleh IPD Tawau.
“Polis ingin menegaskan bahawa mengedar, memiliki atau menyalahgunakan dadah adalah satu kesalahan di sisi undang-undang di negara ini.
“Justeru, polis mengalu-alukan kerjasama serta maklumat daripada orang awam untuk bersama-sama membanteras kegiatan ini,” katanya.