LAHAD DATU- Kewujudan pusat dialisis di Felda Sahabat di
sini yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini akan
meringankan beban peneroka dan penduduk kampung sekitar untuk mendapatkan
rawatan.
Ketua Peneroka Felda Sahabat 4 dan 5 Datu Ibrahim Datu Abd Karim
berkata ketika ini peneroka Felda yang mempunyai masalah buah pinggang terpaksa
ke Hospital Lahad Datu dengan jarak 105 kilometer untuk melakukan dialisis.
“Dengan adanya pusat itu di sini nanti dapatlah menjimatkan
wang dan masa peneroka serta penduduk di kampung sekitar,” katanya kepada
Bernama selepas Karnival Segalanya Felda di sini hari ini.
Pada majlis itu, Anwar meluluskan penubuhan sebuah pusat dialisis
di Felda Sahabat bagi memenuhi keperluan penduduk sekitar selain menambah baik
kemudahan asas lain seperti lampu jalan.
Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri
kerana mendengar luahan peneroka Felda berhubung keperluan penambahan lampu
jalan berikutan terdapat kawasan jalan yang gelap sekali gus membahayakan
pengguna jalan raya.
“Penambahan lampu jalan ini dapat memudahkan kerja buat peneroka
dan mengelakkan insiden tidak diingini” katanya.
Sementara itu, Ketua Peneroka Umas-Umas 23 Sulaiman Kassim
berharap lampu jalan berkenaan dapat dipasang segera bagi keselamatan semua.
“Ada kawasan yang tidak mendapat peruntukan lampu jalan dan
ini memberi risiko bukan hanya kepada peneroka tetapi juga pengguna jalan raya
lain,” katanya.
Ketua Peneroka Umas-Umas 1 Rahim Usman juga melahirkan rasa Syukur
denga keprihatinan Perdana Menteri dalam memenuhi keperluan rakyat terutama
peneroka Felda.
“Dengan adanya kemudahan asas ini dapat membantu menigkatkan
ekonomi komuniti setempat,” katanya. – BERNAMA