Program Regularisasi Bersasar: Majikan sektor perladangan, pertanian diminta tampil segera daftar pekerja

Sumber gambar, media sosial rasmi Jabatan Imigresen Malaysia Sabah 


Kota Kinabalu : Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah, mengumumkan pelaksanaan Program Regularisasi Bersasar yang dijadualkan bermula pada bulan September sehingga Disember ini.

Tindakan ini bertujuan untuk mengatasi isu Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) terutamanya dari Indonesia dan Filipina, yang bekerja tanpa pas yang sah dalam sektor perladangan dan pertanian.

Pengarah Jabatan Imigresen (JIM) Sabah Datuk Sh Sitti Saleha Habib Yusof menjelaskan pelaksanaan ini adalah hasil keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Induk Pengurusan Warga Asing di Sabah (JKPWAS-Induk) pada 25 Julai 2024 yang lepas.

"Apabila pasport telah dikeluarkan oleh pihak kedutaan mereka, pihak majikan ataupun syarikat perlu tampil menghantar permohonan ke Jabatan Imigresen dengan menyertakan bersama surat pengesahan kuota daripada Kerajaan Negeri mengikut keperluan majikan atau syarikat yang terlibat.

"Jabatan ini ingin menegaskan dan memohon kerjasama semua pihak yang terlibat khususnya pihak majikan agar tampil dengan segera dan memberikan komitmen sepenuhnya terhadap program ini," katanya melalui kenyataan media.

Program ini sebelumnya telah ditangguhkan pada 30 April 2023 akibat penularan COVID-19 dan isu pengeluaran pasport, namun kini diaktifkan semula berikutan pemulihan ekonomi.

Sebagai langkah awal, Pihak Berkuasa Negeri telah mengenal pasti 274 pekerja asing tidak sah daripada tiga syarikat perladangan yang telah dikenalpasti dan semua pihak majikan diharapkan memberikan kerjasama dan komitmen penuh terhadap program ini.

Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) akan mengambil tindakan tegas terhadap majikan yang gagal mematuhi syarat hingga Disember 2024.

Tambahnya, pelaksanaan program ini diharap dapat mengatasi masalah kekurangan tenaga kerja dan memastikan kedaulatan negara terjaga.

Berdasarkan rekod pada 2019, terdapat 123, 575 orang pekerja warga Indonesia dan Filipina dalam sektor perladangan dan pertanian. Daripada jumlah itu, masih terdapat 26,925 pekerja yang belum tampil ke hadapan untuk memohon PLKS.
Terbaru Lebih lama