Robert harap Program Komuniti Jiwa Merdeka tingkat semangat patriotik

Robert melawat pameran agensi keselamatan pada Program Komuniti Jiwa Merdeka Peringkat Dun N.40 Bingkor.

KENINGAU - Program Komuniti Jiwa Merdeka Peringkat Dun N.40 Bingkor diharap dapat menyemai semangat patriotik di kalangan masyarakat dan seluruh komuniti kampung.

Adun Bingkor, Datuk Robert Tawik ketika merasmikan program itu berkata negara yang hebat dibina melalui rasa semangat cintakan negara.

"Rasa cinta kepada negara dan negeri ini hendaklah ditanam secara berterusan dan bukan hanya pada waktu-waktu tertentu sahaja.

Tambahnya, apa yang dikecapi hari ini adalah berkat perjuangan orang-orang terdahulu dalam memperjuangkan negara dan negeri ini.

"Mungkin, ada sebahagian dari kita di sini yang menjadi saksi akan pembangunan dan perubahan positif yang telah berlaku di DUN.40 Bingkor khususnya dan Sabah umumnya.

"Pembangunan yang berterusan seperti ini akan terus berlaku jika semua rakyat di DUN.40 bersatu padu dan sentiasa memastikan keharmonian dan kesejahteraan serta keselamatan terpelihara." kata Robert yang juga Pembantu Menteri Kerja Raya Sabah.

"Jika kita melihat hari ini, pelbagai pembangunan infrastuktur dan kemudahan asas telah dibina dan dinaik taraf sebagai tanda komitmen negeri Sabah umumnya dan dun ini khususnya bagi memberikan kemudahan dan keselesaan kepada masyarakat.

Robert bersama penduduk yang hadir pada Program Komuniti Jiwa Merdeka Peringkat Dun N.40 Bingkor.

Program Komuniti Jiwa Merdeka Peringkat Dun N.40 Bingkor diadakan bersempena dengan Hari Sabah dan Hari Kebangsaan yang disambut serentak pada 31 Ogos 2024 serta Hari Malaysia yang bakal disambut pada 16 September ini.

Program anjuran Majlis Keselamatan Negara dengan kerjasama UPPM DUN N.40 Bingkor pada 7 September 2024, di Dewan Bingkor, di sini berjaya menarik lebih 400 penduduk kampung yang hadir memeriahkan suasana dan program.

Beberapa agensi keselamatan seperti Angkatan Tentera Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Agensi Antidadah Kebangsaan dan Angkatan Pertahanan Awam turut serta dalam program ini bagi memberi pengetahuan berkenaan tugas dan fungsi agensi keselamatan dan pertahanan melalui pameran.

Antara pengisian aktiviti peserta yang menghadiri Program Komuniti Jiwa Merdeka Peringkat Dun N.40 Bingkor.

Antara pengisian seperti senaman aerobik, pertandingan mewarna kanak-kanak, tarik tali, pertandingan lari dalam karung, pertandingan sling shoot, pertandingan tarik tali, petandingan memasak oleh ADABI dan ceramah Jiwa Merdeka.

Turut hadir pada program itu ialah Ketua Pejabat Wilayah Kota Kinabalu, Majlis Keselamatan Negara Negeri Sabah, Amir Shah bin Noor Ahmad.
Terbaru Lebih lama