Sabah sambut baik langkah SKMM lesenkan platform media sosial


KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri menyambut baik rancangan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk melesenkan perkhidmatan media sosial yang akan berkuatkuasa pada 1 Januari tahun depan, kata Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor.

"Di zaman penyebaran berita digital ini, terutama di media sosial, kita sering melihat bagaimana kandungan berita yang merbahaya memenuhi ruang siber.

“Samaada ucapan kebencian, provokasi perkauman dan agama, penyebaran berita palsu, buli siber, pembunuhan karakter dan penipuan semuanya boleh tersebar dengan cepat, menimbulkan kekeliruan dan memudaratkan banyak pihak," katanya.

Oleh itu, rancangan SKMM untuk menubuhkan kod etika bagi platform media sosial serta tindakan terhadap pelanggaran sangat dialu-alukan, ujar Ketua Menteri pada sambutan ulang tahun ke-95 Sin Chew Daily dan Anugerah Selebriti Sabah di Dewan Hakka, di sini semalam.

Ucapan beliau disampaikan oleh Menteri Kewangan Datuk Seri Panglima Masidi Manjun.

Hajiji menyatakan bahawa Kerajaan Negeri komited untuk mengekalkan persekitaran media yang adil dan saksama, memastikan semua suara didengar dan semua pandangan dihormati.

"Penghormatan dan perlindungan terhadap kebebasan akhbar adalah asas penting bagi kemajuan sosial dan pembangunan demokratik. Kerajaan Negeri telah konsisten dalam usaha ini, menyokong dan menjadi penaja tetap Anugerah Media Kinabalu tahunan yang dianjurkan oleh Persatuan Wartawan Sabah untuk mempromosikan kecemerlangan kewartawanan dan mengiktiraf karya terbaik serta mendorong dan menghargai bakat baru," katanya.


Walau bagaimanapun, Ketua Menteri menegaskan bahawa kebebasan akhbar juga datang dengan tanggungjawab.

"Pelaporan yang bertanggungjawab mempengaruhi integriti laporan berita. Wartawan dan organisasi media mempunyai tanggungjawab untuk menegakkan standard etika, termasuk mengesahkan dan menyemak maklumat dengan sumber yang boleh dipercayai serta memberikan liputan seimbang yang merangkumi semua pandangan

"Ini akan memastikan laporan mereka kekal neutral, objektif, dan bebas daripada pengaruh yang tidak wajar, katanya.

Dalam hal lain, beliau menyatakan bahawa Sin Chew Daily telah melalui perjalanan yang panjang, menunjukkan kepentingannya sebagai penerbit berita dan penyedia maklumat untuk memberi penerangan tentang berita dan maklumat lain yang berkepentingan awam.

"Selama 95 tahun, Sin Chew Daily bukan sahaja menjadi peneraju dalam akhbar Malaysia tetapi juga salah satu daripada saluran media yang paling berpengaruh di rantau Asia,” katanya.

"Marilah kita berkomitmen untuk mempromosikan kebebasan akhbar dan berusaha ke arah masyarakat yang lebih terbuka, inklusif, dan progresif. Bersama- sama, kita boleh bekerja untuk memerangi maklumat salah dan menegakkan prinsip asas ketelusan, integriti, dan tanggungjawab.

"Kami juga berharap agar usaha berterusan Sin Chew Daily untuk memanfaatkan pengaruh medianya bagi menyumbang secara positif kepada kemajuan dan pembangunan Sabah," katanya.

Terbaru Lebih lama