Sabah teliti semula cadangan penganjuran bersama Sukan SEA 2027

KOTA KINABALU - Kerajaan Negeri Sabah akan meneliti dan mempertimbangkan semula cadangan untuk menjadi salah satu penganjur bersama Sukan SEA 2027.

Menteri Belia dan Sukan Sabah, Datuk Ellron Angin, menyatakan bahawa keputusan ini dibuat secara sebulat suara oleh Jemaah Menteri yang dipengerusikan oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, selepas menilai pelbagai aspek berkaitan penganjuran tersebut.

Menteri Belia dan Sukan Sabah, Datuk Ellron Angin

Ellron menegaskan bahawa cadangan awal Sabah untuk menjadi penganjur bersama temasya sukan ini masih memerlukan persetujuan penuh daripada Jemaah Menteri.

"Semalam, kami telah bersetuju bahawa Sabah akan meneliti dan mempertimbangkan semula cadangan tersebut," katanya di satu kenyataan media.

Beliau juga menambah bahawa Kementerian Belia dan Sukan Sabah akan mengadakan perbincangan lanjut dengan Kementerian Belia dan Sukan Malaysia (KBSM) untuk mendapatkan maklumat terperinci mengenai penganjuran bersama Sukan SEA 2027.

“Saya akan bertemu dengan Menteri KBSM secepat mungkin untuk membincangkan dan memperjelaskan perkara ini secara terperinci,” katanya.

Hasil daripada perbincangan tersebut akan dibentangkan untuk pertimbangan lanjut oleh Jemaah Menteri Sabah.

Walaupun begitu, Ellron berkata kerajaan negeri menyambut baik hasrat kerajaan persekutuan untuk menganjurkan Sukan SEA 2027 dan akan memberikan sokongan penuh serta bekerjasama erat untuk memastikan temasya ini berjaya.

Pada 30 Ogos lalu, Menteri Belia dan Sukan Persekutuan, Hannah Yeoh, mengumumkan bahawa Sabah, Sarawak, dan Pulau Pinang telah bersetuju untuk menjadi tuan rumah bersama Sukan SEA.

Beliau juga menyatakan bahawa Sabah bersedia menyumbang RM100 juta untuk membantu penganjuran acara tersebut.

Namun begitu, Sabah menegaskan bahawa tiada sebarang komitmen kewangan yang telah dibuat oleh kerajaan negeri untuk menjadi tuan rumah bersama Sukan SEA 2027.

Menteri Kewangan Negeri, Datuk Seri Masidi Manjun, mengulangi pendirian ini selepas mesyuarat Kabinet mingguan semalam dengan menekankan bahawa Sabah tidak bersedia untuk menjadi tuan rumah acara sukan antarabangsa ini kerana kekurangan kemudahan sukan yang mencukupi.

"Mesyuarat Kabinet Sabah hari ini mengesahkan bahawa tiada komitmen kewangan pernah dibuat untuk menjadi tuan rumah Sukan SEA 2027," katanya dalam satu hantaran di X.

"Kerajaan Sabah juga tidak bersedia untuk menjadi tuan rumah bersama kerana kemudahan sukan di negeri ini masih perlu diperbaiki," tambahnya.


Terbaru Lebih lama