Sabah terima kenaikan pemberian khas interim RM600 juta sementara tunggu tuntutan 40%

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor (dua kiri), Perdana Menteri Sarawak Tan Sri Abang Johari Openg (kanan) dan Timbalan Perdana Menteri Dato Sri Fadillah Yusof (kiri) sebelum mesyuarat bermula.

KOTA KINABALU - Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor mengalu-alukan kenaikan peruntukan khas interim kepada RM600 juta untuk tahun hadapan seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) di sini, pada Khamis.

“Sabah mengalu-alukan pemberian khas interim RM600 juta sementara menunggu tuntutan 40 peratus hasil Sabah dilaksana dan diselesaikan.” katanya.

 "Ini merupakan satu pengiktirafan kepada keperluan pembangunan Sabah dan kuasa kehendak Kerajaan Persekutuan dalam menunaikan tanggungjawab kepada negeri ini," tambahnya.

Kerajaan Sabah menerima pemberian khas interim RM300 juta daripada Kerajaan Persekutuan pada tahun ini.

Sementara itu itu, Hajiji merakamkan penghargaan atas isu-isu di bawah MA63 yang telah pun diselesaikan termasuk penyerahan kuasa kawal selia dalam mengurus elektrik dan tenaga boleh diperbaharui kepada Sabah awal tahun ini serta penurunan kuasa.

“Saya harap semua isu yang belum selesai akan diusahakan dan dilaksanakan demi kebaikan kedua-dua pihak," katanya.

Mesyuarat yang dipengerusikan sendiri oleh Perdana Menteri itu turut dihadiri oleh Hajiji, Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg serta beberapa barisan jemaah menteri Persekutuan, Sabah dan Sarawak.

Terbaru Lebih lama