'Suka atau tidak, Sabah masih perlu kerjasama parti nasional' - Hajiji

Foto Ihsan Gagasan Rakyat 

SIPITANG: Sabah masih memerlukan kerjasama di antara parti tempatan melalui Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dengan rakan parti nasional yang lain bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang dijangka diadakan pada tahun hadapan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata Sabah belum dapat mengikut jejak Sarawak untuk membentuk kerjasama politik yang hanya membabitkan parti tempatan.

"Gabungan kerjasama GRS - Pakatan Harapan (PH) Plus yang membentuk kerajaan negeri ketika ini adalah susunan kerjasama yang sudah sedia ada untuk Sabah dan ia akan dikekalkan pada PRN nanti.

"Dalam politik kita mesti kerjasama dengan rakan kita dan inilah kita dalam GRS sekarang, kita mesti satu hati. Kita juga mesti bekerjasama dengan parti nasional yang sudah ada di Sabah sekarang.

"Inilah 'setup' kita di Sabah, kita belum dapat macam Sarawak. Suka atau tidak, inilah keadaan kita di Sabah. Apa yang penting ialah kita kukuhkan perpaduan di kalangan kita dalam GRS dengan rakan PH dan lain-lain." katanya ketika merasmikan Mesyuarat Tahunan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Bahagian Sindumin, di sini, hari ini.

"Kalau kita bekerjasama, tiada sabotaj sana sini, tolong-menolong antara satu sama lain, saya yakin kita boleh menang dengan mudah pada PRN nanti," katanya.

Hajiji turut mengingatkan ahli parti itu termasuk di Sindumin supaya memastikan Gagasan Rakyat terus diperkukuhkan, selain menjaga kerjasama dengan rakan dalam GRS dan parti nasional.

"Kuatkan perpaduan di antara kita, mantapkan juga kerjasama dengan rakan dalam GRS dan PH Plus. Kita perlu saling membantu antara satu sama lain untuk memastikan kemenangan di Sindumin dan semua kawasan lain pada PRN nanti," katanya.

Turut hadir Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Sindumin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sindumin, Datuk Dr Yusof Yacob dan Ahli Parlimen Sipitang, Datuk Matbali Musah.
Terbaru Lebih lama