Tiada pencerobohan kali kedua, sifar KFR misi utama ESSCOM

 

Foto Ihsan ESSCOM

LAHAD DATU: Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) meletakkan tiada lagi pencerobohan kali kedua dan sifar penculikan atau Kidnap For Ransom (KFR) sebagai dua misi utama ESSCOM.

Komander ESSCOM, YDH DCP Datuk Victor B Sanjos berkata demikian ketika menyampaikan amanat kepada seluruh warga ESSCOM semasa Majlis Perhimpunan ESSCOM bersempena dengan pelancaran logo dan bendera ESSCOM serta peta Zon Selamat Sabah Timur (ESS Zone) yang baharu.

Susulan itu, Victor berharap melalui penjenamaan ini akan menyemarakkan lagi semangat seluruh warga ESSCOM dalam merealisasikan dua misi utama itu tadi seterusnya menjadikan ESS Zone sebagai tempat yang selamat dan sejahtera.

“Justifikasi penjenamaan ESSCOM dan ESS Zone ini penting bagi mengembalikan keyakinan masyarakat terhadap tahap keselamatan di ESS Zone bertujuan membangunkan sosioekonomi di pantai Timur Sabah.

“Justeru, saya dengan rendah hati memohon kerjasama penuh dan bantuan daripada rakan-rakan media supaya membantu ESSCOM menguar-uarkan perkara ini dalam pemberitaan demi mencapai hasrat memajukan pantai Timur Sabah,” tambah Victor lagi.

Pada majlis sama yang dihadiri oleh 130 warga ESSCOM itu, turut diadakan pelancaran sistem e-Keanggotaan ESSCOM dan e-Demografi ESS Zone secara ‘in-house’ bertujuan memudahkan urusan kerja seharian warga ESSCOM.

Pewujudan sistem ini didasari oleh penggunaan teknologi kecerdasan buatan atau AI dan hasrat ESSCOM bukan sahaja untuk dikenali sebagai pusat keselamatan di pantai Timur Sabah tetapi juga sebagai pusat maklumat di ESS Zone.
Terbaru Lebih lama