Tidak benar kalau ada yang kata Hajiji dan Abang Jo tidak menuntut- Anwar

Foto Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR — Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menafikan dakwaan bahawa Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, dan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg, tidak membuat tuntutan untuk negeri masing-masing.

Menurut Anwar, kedua-dua pemimpin tersebut sentiasa bersikap terbuka dalam menyuarakan pandangan dan permintaan mereka demi kepentingan rakyat Sabah dan Sarawak, namun perbincangan dilakukan dalam semangat persahabatan dan muafakat.

"Tidak benar kalau ada yang kata Hajiji dan Abang Jo tidak menuntut atau mengeluh. Mereka sentiasa menuntut dan memohon, tetapi dengan cara yang baik, penuh muafakat dan semangat untuk jayakan Malaysia," katanya Ketika berucap sewaktu sambutan Hari Malaysia di Padang Merdeka, Kota Kinabalu, di sini semalam.

Anwar turut menyifatkan kerjasama yang ditunjukkan oleh kedua-dua pemimpin itu sebagai teladan yang wajar diikuti oleh pemimpin lain di negara ini.

"Mereka bicara dengan terang, menegur dengan baik sebagai sahabat. Saya juga, seperti mereka, akan memohon demi kepentingan negara, tetapi dalam suasana saling hormat dan bersemangat untuk memajukan Malaysia," katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa Malaysia kini mencatatkan prestasi ekonomi yang positif selepas melalui tempoh sukar ketika pandemik COVID-19. Malaysia kini diiktiraf sebagai hab pembuatan semikonduktor serta sedang melalui fasa peralihan tenaga, dengan Sarawak dan Sabah memainkan peranan penting dalam pembangunan negara.

"Sabah sedang meletakkan asas kukuh untuk diangkat sebagai negeri yang hebat, manakala Sarawak menjadi pusat utama di rantau ini," tambah Anwar.

Beliau mengakhiri kenyataannya dengan menyeru agar semangat perpaduan dan kerjasama yang ditunjukkan oleh pemimpin Sabah dan Sarawak dijadikan panduan untuk memastikan kejayaan berterusan Malaysia di peringkat antarabangsa.
Terbaru Lebih lama