'Tidak tahu berterima kasih, sering bersangka buruk' - Nizam bidas Azis Jamman


KOTA KINABALU - Kenyataan Ketua Penerangan Parti Warisan (WARISAN), Datuk Azis Jamman terhadap Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berhubung isu kelulusan biasiswa dianggap sebagai bukti sikapnya yang sering bersangka buruk dan tidak tahu berterima kasih.

Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, pemimpin pembangkang itu juga sentiasa mencari jalan mahu mencemarkan imej Ketua Menteri Sabah.

“Datuk Seri Hajiji Noor dalam ucapannya memberikan contoh bahawa beliau sentiasa adil dalam memberikan bantuan kepada sesiapa yang memohon pertolongan, tanpa mengira latar belakang dan fahaman politik.

“Ia adalah contoh yang sesuai memandangkan pelbagai kritikan dan fitnah dilemparkan terhadap dirinya serta kerajaan pimpinannya, beliau tetap berpendirian keadilan adalah prinsip penting yang menjadi pegangannya,” katanya.

Menurut Nizam lagi, sejak menerajui Kerajaan Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor terkenal dengan sikapnya yang sentiasa membantu pihak-pihak yang memerlukan tanpa mengira bangsa, agam ataupun fahaman politik.

“Menceritakan situasi Azis Jamman dan keluarga yang bertemu secara peribadi dengan Datuk Seri Hajiji Noor untuk mendapatkan kelulusan biasiswa adalah contoh yang ingin diberikan oleh Ketua Menteri tentang prinsipnya yang berkhidmat untuk semua.

“Sikap Azis Jamman yang mengambil kenyataan Datuk Seri Hajiji Noor sebagai modal politik mencerminkan diri sebenar Azis yang tidak tahu bersyukur serta berterima kasih malah Azis dengan angkuh menghentam dan menghina Ketua Menteri yang berniat baik untuk membantu anaknya,” tambahnya.

Nizam yang juga Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Sabah berkata, beliau percaya prinsip membantu semua rakyat yang memerlukan akan diteruskan oleh Ketua Menteri

“Sudah tentu ramai yang akan menerima manfaat daripada sikap terpuji yang dipamerkan oleh Ketua Menteri kita,” katanya dalam satu kenyataan, disini hari ini.

Terbaru Lebih lama