Waspada! Sabah dijangka alami ribut petir, hujan lebat dan angin kencang

- Foto Hiasan 


KOTA KINABALU- Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) telah mengeluarkan amaran ribut petir yang dijangka melanda beberapa kawasan di Sabah sehingga jam 3:00 petang ini.

Antara kawasan yang terlibat termasuk di kawasan pedalaman, iaitu Sipitang, Tenom, Kuala Penyu, Beaufort, Keningau, dan Tambunan. Pantai Barat, Papar, Putatan, Penampang, Kota Kinabalu dan Kota Belud, Kudat serta Wilayah Persekutuan Labuan.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan pada 12:20 tengah hari tadi, MetMalaysia memaklumkan bahawa ribut petir yang disertai hujan lebat dengan intensiti melebihi 20mm/jam dan angin kencang dijangka berlaku di kawasan tersebut dalam tempoh satu jam atau lebih.

“Penduduk dinasihatkan untuk mengambil langkah berjaga-jaga, terutamanya bagi mengelakkan risiko banjir kilat, tanah runtuh, dan pokok tumbang.

“Aktiviti luar serta perjalanan dinasihatkan untuk ditangguhkan sehingga keadaan cuaca kembali stabil.” Katanya dalam kenyataan yang dimuat naik di laman rasmi Facebook METMalaysia.

Menurut kenyataan itu, amaran ribut petir ini adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam dari masa ia dikeluarkan.

Sementara itu, MetMalaysia menasihatkan orang ramai untuk sentiasa memantau perkembangan cuaca melalui laman web rasmi MetMalaysia atau aplikasi mudah alih, serta mematuhi arahan pihak berkuasa tempatan jika keadaan bertambah buruk.

Terbaru Lebih lama