Xplore Sabah 2024: Destinasi baharu pelancongan melalui sukan dan pengembaraan



Kota Kinabalu– Sabah kini bersedia untuk menjadi tumpuan pelancongan sukan dan pengembaraan menerusi acara sulung Xplore Sabah 2024 yang bakal berlangsung dari 11 hingga 13 Oktober di Sabah International Convention Centre (SICC).

Penganjuran ini akan menampilkan lebih 100 gerai pameran, dengan pelbagai vendor yang menawarkan produk dan perkhidmatan dalam sukan, pengembaraan, pelancongan, kecergasan, dan kesihatan.

Acara ini juga akan menyaksikan Kejohanan Bola Keranjang 3 x 3 dan Kejohanan Futsal Bawah 9 Tahun, dengan 20,000 pengunjung dijangka hadir.

Menurut pengerusi MACEOS, Sabah Chapter, Datuk Rosmawati menyatakan bahawa acara ini bertujuan untuk memperkukuhkan kedudukan Sabah sebagai destinasi pelancongan bertaraf antarabangsa, sambil mencipta peluang ekonomi baharu untuk negeri tersebut.

"Acara ini adalah bukti kerjasama dan dedikasi ahli-ahli MACEOS kami. Kami teruja untuk mempamerkan keunikan Sabah kepada dunia dan menarik lebih ramai pelawat ke negeri indah kami," katanya.

Turut hadir ialah Pn Josie Lai, Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Kebudayaan, dan Alam Sekitar Sabah (KePKAS), menyokong penuh usaha ini.

Xplore Sabah dianjurkan oleh konsortium ahli MACEOS Sabah Chapter seperti Instant Exhibitions, Borneo Business Events, Jumpa, dan SoundsTech Production.

Sidang media tersebut turut menyaksikan beberapa Memorandum Persefahaman (MOU) ditandatangani antara Xplore Sabah dan pelbagai organisasi termasuk Padang Kontena, Persatuan Bola Keranjang Kota Kinabalu dan Waterfly Borneo, dengan sokongan daripada Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Kota Kinabalu (KKCCCI).

Menjelang 2025, Xplore Sabah merancang untuk menarik penyertaan antarabangsa dari negara seperti Taiwan, Korea, China, Brunei, Indonesia dan Filipina.





Terbaru Lebih lama