1 maut, 1 cedera, kereta bertembung di Kota Marudu

Foto ihsan bomba

KOTA MARUDU– Seorang lelaki maut manakala seorang lagi cedera dalam kemalangan membabitkan dua buah kenderaan di Jalan SMK Kota Marudu I, Jalan Goshen, Kota Marudu, di sini pada awal pagi Ahad.

Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Marudu, Mohd Hasbi Hajat, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 2.00 pagi.

Seramai 9 anggota dikerahkan dan tiba di lokasi pada jam 2.03 pagi, tiga minit selepas menerima panggilan kecemasan.

"Kemalangan melibatkan dua buah kenderaan iaitu sebuah Perodua Kelisa dan sebuah Toyota Land Cruiser dilaporkan telah bertembung.

"Mangsa yang berada di dalam Perodua Kelisa, seorang lelaki dewasa yang identitinya belum dikenal pasti, disahkan meninggal dunia setelah dibawa ke Hospital Kota Marudu," katanya dalam satu kenyataan.

Sementara, pemandu Toyota Land Cruiser yang dikenali sebagai Ronald Lesley Gomez, 59 tahun, mengalami kecederaan dan telah dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut

"Operasi menyelamat ditamatkan sepenuhnya pada jam 2.37 pagi setelah memastikan tiada lagi bahaya di lokasi kejadian," katanya.
Terbaru Lebih lama