11 rumah atas air musnah dalam kebakaran di Kota Belud

Foto ihsan Bomba


KOTA BELUD – Sebanyak 11 rumah atas air musnah dijilat api di Kampung Buah Pandai, Kota Belud, di sini pada awal pagi ahad.

Menurut Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, panggilan kecemasan diterima pada pukul 4.09 pagi melalui talian MERS999.

Seramai 13 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud bersama seorang anggota Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Pangkalan segera dikerahkan ke lokasi kejadian.

Jelas Ketua Balai BBP Kota Belud, Muhammad Syazwan Latun pasukan bomba tiba di lokasi kebakaran pada jam 4.30 pagi.

"Kebakaran melibatkan 11 buah rumah atas air jenis tidak kekal melibatkan kawasan seluas 1627 meter terbakar sepenuhnya.

"Sebanyak 16 buah rumah lain berjaya diselamatkan oleh pasukan bomba," katanya dalam satu kenyataan.

Operasi pemadaman dilakukan dengan menggunakan satu aliran 200 kaki dan dua pancutan air, dari tangki jentera serta sumber air laut, api berjaya dikawal pada jam 5.09 pagi.

"Operasi tamat sepenuhnya pada jam 6.15 pagi setelah kawasan disahkan selamat dan bebas daripada bahaya," katanya.


Terbaru Lebih lama