Hadir sama dalam majlis adalah Ketua Pengarah MyIPO, Timbalan Ketua Pengarah (Strategik & Teknikal) MyIPO, serta Pengarah WIPO Singapura. (Foto ihsan MyIPO) |
KOTA KINABALU- Seramai 15 usahawan Sabah terpilih menyertai Program Intensif Pengurusan Harta Intelek anjuran MYIPO dan Pertubuhan Harta Intelek Dunia (WIPO), yang bertujuan untuk memperkukuh pengurusan harta intelek dalam kalangan usahawan tempatan.
Program WIPO Intellectual Property Management Clinic (IPMC) ini telah dirasmikan oleh Ketua Setiausaha, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), YBhg. Datuk Seri Mohd Sayuthi Bakar.
Melalui tema “Leveraging IP in Support of Growth and Globalization of the Food & Beverage and Hospitality Sectors”, ia bertujuan memberi pendedahan tentang kepentingan pengurusan harta intelek dalam memperkukuh daya saing usahawan di peringkat tempatan dan antarabangsa.
Menurut Sayuthi, program ini juga memberikan bimbingan selama empat bulan kepada para peserta, terutamanya dari sektor makanan dan minuman, dalam usaha membantu mereka melindungi aset intelek serta memanfaatkan potensi pasaran global.
Selain bimbingan intensif daripada pakar industri, usahawan terlibat akan mendapat pengetahuan dan kemahiran dalam memanfaatkan aset harta intelek mereka untuk membina jenama yang lebih kukuh dan menembusi pasaran baharu.
“Ini selaras dengan komitmen MYIPO dalam menyokong Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) di Malaysia, yang mana pengurusan harta intelek berkesan dapat membuka lebih banyak peluang perniagaan serta meningkatkan daya tahan mereka di pasaran yang semakin kompetitif,” katanya dalam satu kenyataan media.
Sejak diperkenalkan pada tahun 2021, program ini telah memberi manfaat kepada PKS di seluruh ASEAN, dengan kerjasama pihak seperti ASEAN Business Advisory Council, ASEAN Secretariat, dan Japan Patent Office (JPO).
“Usaha ini mencerminkan dedikasi MyIPO dalam memperkasa sektor PKS, terutamanya dalam industri makanan dan minuman, dengan lebih 134,000 permohonan cap dagang diterima dalam sektor ini sejak Januari 2012.” tambahnya.
Sayuthi berkata, program yang diadakan di Sabah ini diharap dapat menjadi batu loncatan untuk usahawan tempatan membawa produk mereka ke peringkat antarabangsa serta memperkukuh ekonomi negeri.