Seramai 200 individu diperiksa dan 149 warga asing ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen dalam operasi yang dijalankan di daerah Lahad Datu. |
LAHAD DATU: Rakyat China antara 160 warga asing yang ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah dalam operasi penguatkuasaan yang dijalankan di daerah ini dan Semporna.
Pengarah JIM Sabah, Datuk SH Sitti Saleha Habib Yussof berkata, pihaknya menjalankan operasi di dua daerah bermula jam 9 pagi semalam hingga 4 pagi tadi.
Katanya, seramai 200 individu diperiksa dan 149 warga asing ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen dalam operasi yang dijalankan di daerah ini.
“Tahanan terbabit terdiri 94 lelaki dan 53 wanita berusia antara satu tahun hingga 79 tahun yang merupakan rakyat Filipina dan Indonesia.
“Kita juga turut menahan dua warga tempatan kerana disyaki melindungi pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam operasi berkenaan,” katanya dalam sidang media, di sini hari ini.
Manakala di Semporna pula, katanya, seramai 11 warga asing ditahan iaitu tujuh warga China dan empat warga Filipina kerana disyaki menyalahgunakan pas lawatan sosial untuk bekerja dalam Op Mahir.
“Semua warga China yang ditahan kerana disyaki menyalahgunakan pas lawatan sosial bagi tujuan bekerja di tapak pembinaan resort di Semporna.
“Kita juga sedang mengesan majikan dan pemilik premis yang terbabit untuk disiasat dibawah Seksyen 55B dan Seksyen 56(1)(d) Akta Imigresen 1959/63,” katanya.
Sitti Saleha berkata, semua tahanan ditempatkan di Depot Imigresen Tawau untuk siasatan mengikut Seksyen 6(1)(c), Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan 39(B) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
“JIM Sabah menekankan komitmennya untuk tidak berkompromi terhadap isu imigresen yang melibatkan warga asing dan majikan yang melindungi mereka,” katanya.