24 PATI warga China dihantar pulang melalui penerbangan Tawau-Guangzhou

24 tahanan warganegara China dihantar pulang secara terus ke Guangzhou melalui penerbangan dari Lapangan Terbang Tawau. 

Tawau– Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Sabah (JIM Sabah) melaksanakan program pemindahan tahanan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) melalui udara bagi tahun 2024, dengan 24 tahanan warganegara China dihantar pulang secara terus ke Guangzhou melalui penerbangan dari Lapangan Terbang Tawau.

Kesemua tahanan lelaki dewasa berusia antara 31 hingga 64 tahun ini berasal dari Depot Imigresen Tawau, di mana mereka ditahan setelah melanggar peraturan imigresen negara.

Menurut Pengarah JIM Sabah, Datuk SH Siti Saleha Habib Yusso berkata, 20 daripada tahanan terbabit dikenakan denda kompaun sebanyak RM10,000 setiap seorang sebagai sebahagian dari proses perundangan sebelum dihantar pulang, sementara baki empat orang dihantar balik tanpa kompaun atas pertimbangan faktor usia lanjut.

Siti Saleha berkata, kesemua PATI didapati melanggar Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

“JIM Sabah mencatatkan jumlah keseluruhan 34 warga China yang dipindahkan sepanjang 2024, dengan statistik pemindahan udara bagi semua warganegara asing di Sabah mencapai 256 orang setakat ini.

“Berdasarkan rekod sehingga 30 Oktober 2024, JIM Sabah telah berjaya melaksanakan 98 kali program pemindahan PATI melalui pelbagai mod pengangkutan iaitu darat, laut, dan udara dengan jumlah keseluruhan seramai 6,873 orang.

“Kesemua tahanan terdiri daripada 4,925 lelaki dewasa, 1,159 wanita dewasa, serta 450 kanak-kanak lelaki dan 339 kanak-kanak perempuan, yang mana kesemua mereka melakukan pelbagai kesalahan imigresen di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,” katanya dalam kenyataan media di sini.

Selain itu, beliau menyatakan bahawa program pemindahan tahanan ini dijalankan dengan kerjasama rapat pihak kedutaan masing-masing bagi tahanan ditempatkan terlalu lama di depot imigresen.

“JIM Sabah turut mengingatkan majikan agar memastikan semua pekerja asing mempunyai Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) yang sah,” tambahnya.

Beliau turut menegaskan bahawa komitmen mereka dalam melaksanakan operasi penguatkuasaan dan pemindahan PATI sebagai langkah memastikan kepatuhan terhadap undang-undang imigresen dan menyokong keamanan serta kestabilan negeri.
Terbaru Lebih lama