33 kes pokok tumbang dilaporkan di Sabah

Foto Ihsan: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Sabah 

KOTA KINABALU- Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah menerima panggilan kecemasan berkaitan pokok tumbang sebanyak 33 kes melibatkan beberapa buah daerah di negeri ini.

Pusat Gerakan Operasi JBPM Sabah dalam satu kenyataan berkata, jumlah kes itu direkodkan bagi tempoh lima hari bermula dari 18 Oktober sehingga 23 Oktober lalu.

Menurut JBPM Sabah, kejadian ini berlaku akibat cuaca buruk yang dipercayai menjadi punca utama insiden tersebut.

JBPM Sabah dalam satu kenyataan memaklumkan daerah Kota Belud mencatatkan jumlah kes tertinggi dengan 7 kes, diikuti oleh Tuaran dengan 5 kes.

Daerah lain yang turut terjejas adalah Putatan (4 kes), Tambunan (1 kes), Kunak (3 kes), Sandakan (1 kes), Keningau (2 kes), Penampang (3 kes), Beluran (1 kes), Tawau (1 kes), Kota Kinabalu (1 kes), Kudat (1 kes), Kuala Penyu (1 kes) dan Papar (2 kes).

JBPM Sabah berkata, sebaik menerima panggilan kecemasan, pihaknya segera menggerakkan anggota ke kawasan-kawasan yang terlibat.

Justeru, JBPM Sabah meminta orang ramai untuk sentiasa berhati-hati semasa berada di luar rumah dan sentiasa mengawasi ahli keluarga ketika keadaan cuaca yang tidak mengizinkan.
Terbaru Lebih lama