66 tan sampah dikutip di Pulau Gaya dan Pulau Sepanggar

Foto Ihsan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK)


KOTA KINABALU: Sebanyak 66 tan sampah berjaya dikutip dan dilupuskan pada hari pertama program KK Cleanup Day 4.0: Pulau Gaya dan Pulau Sepanggar, yang dianjurkan oleh Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal (JPSP) Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK).

Program yang berlangsung selama tiga hari, bermula 2 hingga 4 Oktober, melibatkan lima kampung di Pulau Gaya termasuk Kg. Lok Urai, Kg. Kasuapan, Kg. Pulau Gaya Asli, Kg. Lobong, dan Kg. Torong Logong, serta Kg. Pulau Sepanggar di Pulau Sepanggar.

“Sebanyak 12 unit bot digunakan bagi mengangkut sampah yang dikumpul daripada 11 jeti di kawasan perkampungan.

“Selain itu, 12 unit jentera berat seperti lori kompaktor, lori ro-ro, jengkaut, dan 'open truck' turut digunakan untuk melupuskan sampah di tapak pelupusan Kayu Madang,” ujar DBKK dalam satu kenyataan.

Tambahnya, kejayaan program ini menunjukkan komitmen penduduk setempat dalam usaha memastikan kebersihan kawasan persekitaran mereka.

Program ini akan diteruskan sehingga kemuncaknya pada Jumaat ini, 4 Oktober 2024.
Terbaru Lebih lama