TAWAU- Syarikat pengendali pakej umrah, Al Quds Umrah & Tours (M) Sdn Bhd. diarah membayar pampasan ganti rugi berjumlah RM10,000 kepada dua individu selepas sesi pendengaran kes di Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) Sabah, di sini, hari ini.
Presiden TTPM Sabah, Larina Wong Shiao Yee, membuat keputusan itu dan membenarkan tuntutan pampasan dikemukakan pihak yang menuntut (PYM), Kasmah Arifin, 55, dan Muliana Samin, 44, terhada syarikat pengendali pakej umrah terbabit.
Menerusi tuntutan yang dikemukakan, syarikat yang beribu pejabat di Kelantan itu, didakwa gagal membawa penuntut untuk mengerjakan ibadah umrah dan badal haji pada tarikh yang ditetapkan.
Bayaran keseluruhan untuk pakej yang ditawarkan itu masing-masing sebanyak RM6000 dan RM4000 telah dijelaskan sepenuhnya oleh kedua-dua penuntut.
Berikutan itu, kedua-dua mangsa yang tidak berpuas hati berasakan diperdaya syarikat berkenaan kemudiannya tampil memfailkan tuntutan kepada TTPM.
Pada sesi pendengaran hari ini, Larina mengarahkan syarikat Al Quds Umrah & Tours (M) Sdn Bhd selaku pihak penentang (PP) kes, membayar pampasan berjumlah RM6000 kepada Kasmah manakala RM4000 kepada Muliana.
Bayaran tuntutan dan wang pampasan itu perlu dijelaskan dalam tempoh 14 hari dari tarikh syarikat itu menerima 'Borang 8' iaitu award Borang Arahan bayaran balik selepas gagal hadir pada sesi pendengaran kes hari ini.
Sementara itu, dalam kes tuntutan berasingan hari ini, sebuah syarikat menjual kereta terpakai JR Automobile diarah membayar pampasan berjumlah RM18,305 kepada Muhammad Azrul Ilah, 37, selaku pihak penuntut selepas kereta yang dibelinya didapati mempunyai banyak kerosakan.
Menerusi 'Award' itu, Larina turut mengarahkan nama pemilik pada geran hendaklah ditukar milik kepada nama asal selain pihak penuntut dikehendaki memulangkan semula kereta jenis Audi terbabit kepada pihak penentang selepas bayaran dijelaskan sepenuhnya dalam tempoh 14 hari dari tarikh Award dikeluarkan.