WASPADA: Amaran hujan berterusan di Sabah bermula Rabu sehingga Jumaat ini. (Foto Ihsan METMalaysia) |
KOTA KINABALU: Hujan berterusan dijangka berlaku di beberapa kawasan di Sabah bermula Rabu ini, menurut Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia).
Amaran hujan berterusan itu bakal berlaku dalam tempoh tiga hari berturut bermula Rabu, 23 Oktober 2024 sehingga Jumaat, 25 Oktober 2024.
MetMalaysia melalui satu kenyataan yang dikeluarkan pada 9.45 pagi semalam, memaklumkan antara kawasan yang terlibat iaitu Kuala Penyu, Beaufort, Keningau, Tambunan, Pantai Barat, Sandakan dan Kudat serta Wilayah Persekutuan Labuan.
“Amaran Hujan berterusan (Waspada) dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda yang menunjukkan hujan atau ribut petir dijangka berlaku melebihi 6 jam dalam tempoh tersebut di sesuatu kawasan,” katanya.
Sebelum itu, METMalaysia telah mengeluarkan amaran ribut petir untuk beberapa kawasan di Sabah dijangka berlaku sehingga 12 tengah hari, hari ini.