Anggota tentera tidak mengaku mabuk hingga menyebabkan kecederaan

 

Davyson (tengah) dan Wong (kiri) masing-masing didakwa di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini.

TAWAU : Seorang anggota tentera mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan memandu di bawah pengaruh alkohol hingga menyebabkan kecederaan keatas seorang penunggang motosikal, April lalu.

Tertuduh Davison Nyanggau Anak Lawai, 34, dari Rejimen 516 Askar Wataniah Kem Kukusan, di sini, membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan dihadapan Majistret Don Stiwin Malanjum.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa memandu kereta jenis Perodua Bezza dengan kadar kandungan alkohol dalam badan sebanyak 372 milligram (mg) etil alkohol dalam 100 millimeter (ml) darah melebihi had ditetapkan iaitu 50mg/100ml darah sehingga menyebabkan kecederaan keatas seorang penunggang motosikal berumur 27 tahun.

Kesalahan itu didakwa di lakukan di Jalan Utara, Simpang Kem Kukusan, dekat sini, kira-kira jam 10.45 malam, pada 25 April lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 44(1A)(b) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (pindaan 2020) di mana jika sabit kesalahan boleh hukuman penjara sehingga sepuluh tahun dan denda sehingga RM50,000 selain hilang kelayakan memandu selama tempoh sepuluh tahun.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau, Asisten Superintenden Joan Lee manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Berikutan pengakuan tertuduh itu, mahkamah membenarkan tertuduh dijamin RM2000 dengan dua seorang penjamin tempatan.

Pada prosiding hari ini, mahkamah turut mengarahkan tertuduh melantik peguam untuk mewakilinya pada perbicaraan penuh yang ditetapkan 18 dan 19 Disember depan.

Sementara itu, dimahkamah sama seorang nelayan didenda RM10,000 dan penjara satu hari atas kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol.

Hukuman itu diputuskan Don Stiwin terhadap Wong Tze Fei, 40, selepas mengaku bersalah dan mensabitkannya dengan pertuduhan mengikut Seksyen 45(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang berkuatkuasa dari tarikh sabitan hari ini.




Terbaru Lebih lama