Armizan tinjau persiapan "Program Madani Rakyat 2024" di Kompleks Sukan Likas

 



KOTA KINABALU- Persiapan bagi Program MADANI Rakyat (PMR) 2024 Sayangi Sabah yang akan berlangsung dari 18 hingga 20 Oktober di Kompleks Sukan Likas kini sedang giat dijalankan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Malaysia, Datuk Armizan Mohd Ali, hari ini telah mengadakan lawatan tapak untuk meninjau perkembangan persiapan menjelang penganjuran acara tersebut. Program ini merupakan kesinambungan kepada Program Setahun Bersama Kerajaan MADANI yang diadakan di Kuala Lumpur pada Disember 2023.

Menurut Armizan, majlis perasmian dijadualkan berlangsung pada 19 Oktober dan akan disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dengan tema “Meningkatkan Kesejahteraan Pengguna”.





"PMR kali ini bertujuan menawarkan perkhidmatan kerajaan secara langsung kepada rakyat, mempromosikan dasar-dasar baharu serta meningkatkan pemahaman terhadap hala tuju kerajaan. Antara inisiatif yang disediakan adalah Perkhidmatan Touchpoint Rakyat dan Inisiatif Kesejahteraan Rakyat,” kata Armizan melalui satu kenyataan media.

"Program ini turut melibatkan kolaborasi pelbagai agensi kerajaan seperti Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Kementerian Sumber Manusia (KESUMA), dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)" tambahnya lagi.

Pelbagai aktiviti menarik seperti karnival kerjaya, pameran aset kerajaan, e-sukan, dan Konsert Sayangi Sabah turut akan diadakan sepanjang tiga hari program berjalan.

Orang ramai dijemput hadir untuk menyertai dan menikmati pelbagai perkhidmatan serta aktiviti yang ditawarkan.
Terbaru Lebih lama