Datuk Ellron bersama dengan semua penerima insentif kemenangan. |
KOTA KINABALU– Kerajaan Negeri Sabah menyampaikan insentif berjumlah RM2.19 juta kepada atlet negeri itu yang berjaya mencipta kecemerlangan dalam temasya Sukan Malaysia (SUKMA) XXI dan Para SUKMA XXI di Sarawak baru-baru ini.
Ganjaran istimewa turut disampaikan kepada pelari negara Eddy Bernard yang meraih pingat gangsa dalam acara 100 meter di Sukan Paralimpik Paris 2024, dengan nilai insentif sebanyak RM50,000.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor berkata, pihak kerajaan negeri turut merakamkan tahniah dan syabas kepada atlet yang telah mewakili negeri Sabah di kedua-dua temasya sukan berprestij itu.
Hajiji turut merakamkan penghargaan kepada jurulatih dan pengurus pasukan yang telah berkorban demi memastikan kejayaan atlet sepanjang hampir dua tahun persiapan menghadapi SUKMA dan Para SUKMA.
Beliau menyatakan bahawa insentif bernilai RM245,000 akan diberikan kepada jurulatih dan pengurus pasukan SUKMA, manakala RM250,500 pula diagihkan kepada jurulatih dan pengurus pasukan Para SUKMA.
“Saya juga mengucapkan tahniah kepada atlet renang yang berasal dari daerah Sandakan iaitu Shahafiq Abdullah kerana telah dipilih sebagai pemenang anugerah Atlet Lelaki Terbaik Para SUKMA Edisi Ke-21, 2024 selepas membawa pulang empat pingat emas, satu pingat perak dan satu pingat gangsa.
“Lebih membanggakan lagi, keempat-empat pingat emas yang dimenangi beliau itu merupakan catatan rekod baharu kebangsaan. Dengan kejayaan itu, Shahafiq akan menerima insentif tambahan untuk anugerah ini iaitu sebanyak RM10,000,” katanya pada majlis penyampaian insentif kemenangan di sini, selasa lalu. Ucapan beliau disampaikan oleh Menteri Belia dan Sukan Datuk Ellron Alfred Angin.
Di samping itu, Ketua Menteri berharap agar perancangan Kementerian Belia dan Sukan Sabah dalam memperkasakan pembangunan sukan dan belia di negeri ini dapat dilaksanakan dengan lancar dan berjaya demi kemajuan sukan di Sabah.