Banci Pertanian 2024 di Sabah lebihi 100% sasaran

 

Kredit: Banci Pertanian 2024

SANDAKAN – Program Banci Pertanian 2024 di Sabah berjaya melebihi 100% sasaran, sejak banci yang bermula pada 7 Julai lalu dan kini berada di fasa akhir.

Operasi tersebut telah melibatkan 247,743 kediaman pertanian dan 890 pertubuhan pertanian di seluruh Sabah. 

Pesuruhjaya Banci, Dato’ Sri Dr. Mohd Uzir Mahidin, menyatakan kejayaan ini hasil kerjasama erat penduduk dan agensi terlibat.

Menurut beliau, daerah Kinabatangan mencatatkan pencapaian tertinggi dengan 158.2%, diikuti Lahad Datu (139.8%) dan Pitas (126.9%). 

“Kejayaan ini tidak akan tercapai tanpa sokongan kukuh dan kerjasama erat dari semua pihak.

“Hasil Banci Pertanian 2024 akan menjadi penanda aras penting bagi merangka hala tuju pertanian di masa hadapan,” ujar beliau dalam sebuah kenyataan media. 

Sektor pertanian Sabah terus menyumbang kepada pembangunan ekonomi negeri, terutama dalam mengurangkan defisit perdagangan makanan serta meningkatkan pendapatan masyarakat luar bandar. 

Sempena Program Lawatan Kerja Persuruhjaya Banci Pertanian di Sabah pada 5 hingga 7 Oktober lalu, beliau turut melawat beberapa kawasan operasi banci di Sandakan, Tongod, Telupid, Beluran, dan Kinabatangan, dengan fokus terhadap aktiviti ternakan dan perikanan. 

Antara kawasan yang dilawati termasuk Kampung Sinar Jaya dan Kampung Bukit Besi di Beluran, serta Kampung Jawa di Kinabatangan. 

Banci Pertanian 2024 bertujuan bagi mencapai hasil utama dengan membangunkan Pangkalan Data  yang dijangka menjadi salah satu sumber utama bagi kerajaan dan agensi pertanian. 

"Kejayaan Bnci Pertanian bergantung kepada usaha kita bersama.

“Oleh itu, semua pihak yang terlibat di seluruh negara diharap memberikan kerjasama sepenuhnya dengan menyediakan maklumat yang tepat dan menyeluruh,” ujar beliau lagi. 

Data yang dikumpulkan penting untuk perancangan dasar pertanian negara dan pembangunan Pangkalan Data Statistik Pertanian Bersepadu. 

DOSM juga menyediakan akses maklumat banci melalui platform OpenDOSM NextGen di [https://open.dosm.gov.my](https://open.dosm.gov.my).

Terbaru Lebih lama