Bapa kaki pukul anak ditahan polis


TAWAU: Perbuatan lelaki warga asing memukul anak lelakinya berusia tujuh tahun hingga cedera membawa padah selepas ditahan polis di Batu 3, Jalan Apas, di sini semalam.

Lelaki berusia 29 tahun itu ditahan sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau, kira-kira jam 12.45 tengah hari.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, perbuatan suspek terbongkar selepas ibu saudara mangsa membuat laporan polis pada Sabtu lepas.

Katanya, menurut laporan yang diterima, kanak-kanak terbabit dipukul bapa kandungnya menggunakan tali pinggang di rumah mereka.

“Hasil siasatan awal, suspek dikatakan selalu berlaku sehingga mangsa mengalami kecederaan di seluruh tubuhnya.

“Polis berjaya menyelamatkan kanak-kanak terbabit dan tali pinggang yang disyaki digunakan ketika kejadian dirampas,” katanya dalam sidang media, hari ini.

Jasmin berkata, suspek dibawa ke IPD Tawau untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan Seksyen 326A kanun yang sama.

“Jika sabit kesalahan suspek boleh dikenakan hukuman penjara selama tempoh yang boleh sampai sepuluh tahun atau denda atau dengan sebat, atau dua kali ganda dari hukuman berkenaan,” katanya.

Terbaru Lebih lama