Belanjawan 2025 penuhi keperluan rakyat hadapi kesan inflasi

Suryadi berada di Dewan Rakyat mendengar pembentangan belanjawan 2025 oleh Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim


TAWAU: Belanjawan 2025 yang dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dilihat bertepatan dengan keperluan rakyat terutamanya dalam menghadapi kesan inflasi dan peningkatan kos sara hidup.

Ahli Parlimen Kalabakan, Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy berkata, Belanjawan Madani 2025 ini memberi tumpuan kepada pembangunan mampan dan pertumbuhan ekonomi negara.

Katanya, Kerajaan Perpaduan telah mencadangkan pelbagai inisiatif yang akan memberikan manfaat secara langsung kepada seluruh rakyat di negara ini khususnya di Sabah.

“Peningkatan peruntukan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) kepada RM13 bilion sangat membantu meringankan beban rakyat yang layak dan kurang berkemampuan.

“Belanjawan ini juga memberi khabar gembira buat kita di Tawau apabila turut diumumkan pembesaran Lapangan Terbang Tawau dan Lapangan Terbang Miri dengan peruntukan sebanyak RM253 juta,” katanya dalam kenyataan media, di sini hari ini.

Beliau berkata, peningkatan peruntukan pendidikan dan Program Pendidikan Dan Latihan Teknikal & Vokasional (TVET) juga mencerminkan kesungguhan kerajaan dalam memastikan generasi muda bersedia untuk cabaran masa hadapan.

“Peningkatan peruntukan daripada RM6.8 bilion pada tahun 2024 kepada RM7.5 bilion bagi tahun 2025 adalah satu inisiatif untuk meningkatkan daya saing dan memupuk inovasi dalam kalangan belia.

“Selain itu, kesihatan awam juga turut diberi tumpuan apabila mendapat peruntukan kedua terbesar iaitu RM45.3 bilion bagi memastikan tahap kesihatan rakyat terutamanya di Sabah terus terjamin,” katanya.

Menurutnya, Kerajaan Madani juga memperkenalkan inisiatif hijau bagi memelihara alam sekitar dan membina masyarakat yang lebih mampan.

“Justeru, kerajaan dilihat komited untuk mengurangkan jejak karbon dan membangunkan ekonomi tenaga boleh diperbaharui di Sabah.

“Saya percaya Belanjawan 2025 ini akan membawa perubahan positif dan menyokong usaha kita ke arah pembangunan yang inklusif dan berdaya saing,” katanya.

Suryady menyeru semua pihak supaya bersama-sama menyokong pelaksanaan belanjawan ini demi kebaikan rakyat dan negara.

“Marilah kita bergerak ke arah masa depan yang lebih cerah dan sejahtera untuk semua,” katanya.
Terbaru Lebih lama