Budak 5 tahun rentung, kebakaran 38 umah

 

Foto ihsan Bomba 


TAWAU– Seorang kanak-kanak lelaki berusia 5 tahun ditemui rentung dalam kebakaran besar yang memusnahkan 38 rumah di Kampung Jati Batu 5, Tawau, di sini pada awal pagi Isnin.

Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada jam 12.55 pagi melalui talian MERS999.

Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, Jemishin Ujin, pasukan bomba tiba di lokasi kejadian pada jam 1.10 pagi.

Seramai 27 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, bersama enam anggota dari Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Titingan, dikerahkan ke lokasi kejadian.

"Kebakaran melibatkan kawasan seluas 1.57 ekar itu berjaya dikawal pada jam 2.28 pagi.

"Anggaran awal 38 buah rumah jenis tidak kekal itu musnah sepenuhnya.

“Mangsa kanak-kanak lelaki berusia lima tahun ditemui rentung pada jam 4.50 pagi," kata Jemishin.

Mangsa diserahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut.

Operasi pemadaman dijalankan dengan menggunakan satu aliran dan dua pancutan air sepanjang 1200 kaki dari tangki jentera serta sumber air terbuka.

"Operasi pemadaman diteruskan sehingga semua risiko dapat dihapuskan sepenuhnya dan operasi tamat pada jam 5.59 pagi," katanya.
Terbaru Lebih lama