Contohi perilaku Nabi Muhammad untuk kekalkan keharmonian masyarakat - Ketua Menteri
Editor-
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor bersama pemimpin dan masyarakat Islam menyertai perarakan dari Padang Astaka Pekan Tuaran ke Dewan Seri Sulaman sempena Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Daerah Tuaran Tahun 1446 Hijriah/ 2024M pada Khamis.
TUARAN- Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor menyeru rakyat negeri ini agar mencontohi perilaku Nabi Muhammad SAW dalam mengekalkan keharmonian antara masyarakat pelbagai kaum dan agama di negeri Sabah.
Menurut beliau, pentingnya menjaga hubungan baik antara umat Islam dan bukan Islam, seperti yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW dalam segala usaha Baginda.
"Budi pekerti Rasulullah ini juga memberi pengajaran bahawa umat Islam mestilah mengikis sikap mudah selesa, mudah berpuas hati dengan pencapaian yang ada, sebaliknya perlu sentiasa bekerja dan berusaha ke arah mencapai kejayaan yang lebih cemerlang.
"Justeru, saya mahu rakyat agar bersama-sama kerajaan dengan memainkan peranan masing -masing terutama sekali dalam membantu menjayakan setiap agenda pembangunan negeri ini", katanya pada Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Daerah Tuaran Tahun 1446 Hijriah/ 2024M di Dewan Seri Sulaman, hari ini.
Hajiji menegaskan, sambutan Maulidur Rasul bukan hanya untuk memperingati hari kelahiran Nabi Muhammad SAW, tetapi sebagai platform untuk mendorong rakyat, khususnya golongan muda, keluar dari zon selesa dan menanam semangat bekerja lebih gigih.
Beliau turut menekankan bahawa kejayaan sesebuah negara tidak boleh dicapai dalam masa yang singkat, tetapi melalui usaha berterusan serta komitmen bersama antara kepimpinan berwawasan dan penglibatan aktif rakyat.
"Setiap elemen dalam masyarakat memainkan peranan penting dalam mencapai kejayaan negeri dan negara. Dengan menggabungkan kekuatan pelbagai aspek, kita boleh mencapai kesejahteraan dan kemakmuran rakyat secara menyeluruh," tambahnya.
Hajiji berharap sambutan Maulidur Rasul ini akan menjadi titik tolak untuk memperkukuhkan integriti, etika, serta kemajuan dalam membentuk masyarakat yang harmoni dan berdaya saing. Beliau mengajak rakyat untuk mengambil iktibar daripada ajaran Nabi Muhammad SAW dalam usaha untuk terus memajukan negeri dan negara.
"Marilah kita bersama-sama mengangkat martabat umat, negeri, dan negara kita dengan mengikuti ajaran serta contoh teladan Rasulullah SAW," katanya.