Cubaan tiga lelaki warga asing curi kayu beruti gagal

 

Tiga lelaki warga asing bawa 20 batang kayu beruti curi membawa padah selepas ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Lahad Datu, semalam.

LAHAD DATU: Cubaan tiga lelaki warga asing bawa 20 batang kayu beruti curi membawa padah selepas ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Lahad Datu, semalam.

Semua lelaki berusia 35 hingga 45 tahun itu ditahan menerusi Op Pluto Timur, kira-kira jam 5.20 pagi, di perairan Kunak.

Pengarah Zon Maritim Lahad Datu, Komander Maritim Dzulfikhar Ali berkata, pihaknya mengesan sebuah bot pam sarat dengan muatan kayu di kedudukan 0.7 batu nautika Timur Laut Bandar Kunak.

Katanya, hasil pemeriksaan awal mendapati bot pam berkenaan tiada nombor pendaftaran dan dikendalikan oleh tiga lelaki warga Filipina.

“Pemeriksaan lanjut mendapati semua lelaki terbabit tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri yang sah dan menemui sebanyak 20 batang kayu beruti yang diikat di sisi bot berkenaan.

“Hasil soal siasat, difahamkan 20 batang kayu berkenaan dicuri dari kilang dan akan dijual di pasaran tempatan,” katanya dalam kenyataan media di sini hari ini.

Menurutnya, suspek dan kayu beruti yang dianggarkan bernilai lebih RM5,000 itu di bawa ke Jeti Zon Maritim Lahad Datu untuk siasatan serta tindakan lanjut.

“Semua suspek disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/1963 dan Akta Kanun Keseksaan kerana memiliki kayu beruti disyaki dicuri,” katanya.

Berikutan kes tangkapan itu, katanya, Zon Maritim Lahad Datu akan meningkatkan rondaan dan pemeriksaan ke atas bot-bot di perairan ini khususnya yang melakukan aktiviti mencurigakan.

Dzulfikhar turut menegaskan, pihaknya tidak akan berkompromi terhadap pelanggaran undang-undang dan akan mengambil tindak tegas terhadap mana-mana pihak yang melakukannya.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kegiatan jenayah dan insiden kecemasan di laut boleh menghubungi Pusat Operasi Maritim, Zon Maritim Lahad Datu melalui aplikasi Whatsapp 016-9305727 atau MERS 999,” katanya.

“Maklumat boleh disalurkan melalui aplikasi Whatsapp 016-9305727 atau MERS 999 untuk maklum balas segera,” katanya.

Terbaru Lebih lama