TAWAU: Polis tahan empat individu termasuk dua wanita kerana disyaki mencuri barang kemas milik seorang lelaki bernilai RM45,000 di Jalan OKK Abu Bakar, di sini, baru-baru ini.
Semua suspek berusia 28 hingga 42 tahun itu ditahan sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau, semalam.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, pihaknya menerima satu laporan daripada seorang lelaki tempatan berusia 31 tahun.
“Laporan itu memaklumkan bahawa barang kemas yang diletakkan di dalam keretanya hilang disyaki dicuri oleh individu yang tidak dikenali, pada 1 Oktober lalu.
“Antara barang kemas miliknya yang hilang iaitu seutas gelang tangan emas, seutas rantai emas dan buah rantai emas dan anggaran kerugian hampir RM45,000,” katanya dalam kenyataan media, di sini hari ini.
Katanya, bertindak atas laporan itu, polis berjaya menahan empat suspek termasuk dua wanita di Jalan Kampung Pukat, Tanjung Batu Laut dan sekitar Hospital Tawau, dari jam 6 pagi hingga 6 petang.
“Semua suspek terbabit dibawa ke IPD Tawau untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan atas kesalahan mencuri,” katanya.
Tags:
Jenayah