Dua cedera lori tiga tan dinaiki bertembung lori treler

 

Kredit: BBP Tawau 

TAWAU: Dua individu mengalami kecederaan selepas lori tiga tan yang mereka naiki bertembung dengan sebuah lagi lori treler di jalan Kampung Beruang Bombalai, di sini, awal pagi tadi.

Mangsa pemandu lori, Mahammad Sudin,70, dan penumpangnya Samatang Baco,61, masing-masing mengalami kecederaan di bahagian tangan, paha kanan dan muka.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau Jemishin Ujin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 1.11 pagi.

Katanya, seramai sembilan anggota dan pegawai bersama dua jentera digerakkan ke lokasi kejadian bagi menjalankan operasi menyelamat.

“Sebaik tiba, pasukan bomba mendapati sebuah lori tiga tan terbabas ke bahu jalan selepas dipercayai bertembung dengan sebuah lori treler.

“Terdapat tiga mangsa terbabit dalam kemalangan itu berjaya dikeluarkan oleh pasukan bomba dan dua daripadanya iaitu pemandu dan penumpang lori tiga tan mengalami kecederaan,” katanya dalam kenyataan media, di sini.

Menurutnya, mangsa yang cedera diberikan rawatan awal dan dihantar ke Hospital Tawau menggunakan jentera EMRS untuk mendapatkan rawatan selanjutnya.

“Setelah memastikan tiada lagi bahaya yang wujud di lokasi kejadian, pasukan bomba menamatkan operasi pada jam 1.51 pagi,” katanya.
Terbaru Lebih lama